ISLAM ADALAH PILIHAN CARA HIDUP


Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah mereka yang berpegang teguh dengan al-Qur’an dan al-Sunnah dan mengikuti semua ajaran yang di bawa oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sama ada di dalam bentuk ‘itiqad (aqidah), ibadah, muamalah dan akhlak sebagaimana yang difahami dan dilaksanakan oleh para sahabat radhiallahu 'anhum, tabi’in, tabi’ut tabi’in dan mereka yang mengikuti mereka ini sehingga ke hari ini. 

Ahlus Sunnah Wal Jamaah juga adalah mereka yang berpegang teguh dengan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagaimana yang difahami oleh al-Salafussoleh yang telah dijamin oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai generasi terbaik bagi umat Islam sebagaimana sabdanya:

خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ.

Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ut tabi’in).



Sejarah Ringkas Ajaran Wahhabi

Ajaran Wahhabi diasaskan oleh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab (1206H) yang mendorong pengikutnya mengkafirkan umat Islam dan menghalalkan darah mereka. Sudah pasti manusia yang lebih mengenali perihal Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab adalah saudara kandungnya dan bapanya sendiri.

Saudara kandungnya Syeikh Sulayman bin ‘Abd al-Wahhab sering memberi peringatan kepada umat Islam di zamannya agar tidak mengikut ajaran baru Muhammad bin ‘Abd al- Wahhab kerana ajaran itu menghina ulama Islam serta mengkafirkan umat Islam. Sebagai bukti sila rujuk 2 kitab karangan Syeikh Sulayman tersebut: Fasl al-Khitab Fi al-Radd ‘Ala Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab dan al-Sawa‘iq al-Ilahiyyah Fi al-Radd ‘Ala al-Wahhabiyah .

Bapanya juga iaitu ‘Abd al-Wahhab turut memarahi anaknya iaitu Muhammad kerana enggan mempelajari ilmu Islam dan beliau menyatakan kepada para ulama:

“Kamu semua akan melihat keburukan yang dibawa oleh Muhammad bin ‘Abd al- Wahhab ini”.

Sebagai bukti sila rujuk kitab al-Suhub al-Wabilah ‘Ala Dhara’ih al-Hanabilah cetakan Maktabah Imam Ahmad, muka surat 275. Demikianlah saudara kandungnya sendiri mengingatkan umat Islam agar berwaspada dengan ajaran TAKFIR yang dibawa oleh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab.

Kenyataan Para Mufti Perihal Wahhabi 

Mufti Mazhab Hanbaliyy, Muhammad bin Abdullah bin Hamid al-Najdiyy (1225H) menyatakan dalam kitabnya al-Suhub al-Wabilah ‘Ala Dhara’ih al-Hanabilah ( ........ ..... ... ....... ..... ), muka surat 276:

“Apabila ulama menjelaskan hujah kepada Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab dan dia tidak mampu menjawabnya serta tidak mampu membunuhnya maka dia akan menghantar seseorang untuk membunuh ulama tersebut kerana dianggap sesiapa yang tidak sependapat dengannya adalah kafir dan halal darahnya untuk dibunuh.”

Mufti Mazhab Syafi‘iyy, Ahmad bin Zaini Dahlan (1304H) yang merupakan tokoh ulama Makkah pada zaman Sultan ‘Abd al-Hamid menyatakan dalam kitabnya al-Durar al-Saniyyah Fi al-Radd ‘Ala al-Wahhabiyyah muka surat 42:

“Wahhabiyah merupakan golongan pertama yang mengkafirkan umat Islam 600 tahun sebelum mereka dan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab berkata: Aku membawa kepada kamu semua agama yang baru dan manusia selain pengikutku adalah kafir musyrik.”

Sejarah membuktikan Wahhabi telah membunuh keturunan Rasulullah serta menyembelih kanak-kanak kecil di pangkuan ibunya ketikamana mereka mula-mula memasuki Kota Ta’if. Sila rujuk kitab Umara’ al-Balad al-Haram, muka surat 297 – 298, cetakan al-Dar al-Muttahidah Li al-Nasyr.

Tokoh Wahhabi, ‘Abd al-Rahman bin Hasan Al al-Syeikh mengkafirkan golongan al- Asya‘irah yang merupakan pegangan umat Islam di Malaysia dan di negara-negara lain. Rujuk kitabnya Fath al-Majid Syarh Kitab al-Tawhid muka surat 353 cetakan Maktabah Dar al-Salam Riyadh.

Seorang lagi tokoh Wahhabi iaitu Salih bin Fawzan al-Fawzan turut menghukum golongan al-Asya‘irah sebagai sesat aqidah dan bukan Ahli Sunnah Wal Jama‘ah. Rujuk kitabnya Min Masyahir al-Mujaddidin Fi al-Islam , muka surat 32, cetakan Ri’asah ‘Ammah Li al-Ifta’ Riyadh.

Wahhabi bukan sahaja menghukum sesat terhadap ulama Islam bahkan umat Islam yang mengikut mazhab pun turut dikafirkan dan dihukum sebagai musyrik dengan kenyataannya:

“Mengikut mana-mana mazhab adalah syirik.” 

Dan Wahhabi ini berani juga mengkafirkan ibu Bani Adam iaitu Sayyidatuna Hawwa dengan kenyataannya:

“Sesungguhnya syirik itu berlaku kepada Hawwa.”

Tokoh Wahhabi tersebut Muhammad al-Qanujiyy antara yang hampir dengan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Rujuk kenyataannya dalam kitabnya al-Din al-Khalis , juzuk 1, muka surat 140 dan 160, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Maka fahaman ini menjadi kewajipan kepada ulama membongkar untuk diperjelaskan memandangkan ramai orang Islam yang terkeliru dengan propaganda aliran ini. Aliran ini turut bertunjang kepada pemikiran Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim al-Kharijiyy (al-Jawziyy) antaranya:

i. Membawa konsep bid‘ah yang bercanggah dengan jumhur ulama.
ii. Mempromosi bid‘ah dalam usul (aqidah) dan furu‘ .

Percanggahan Dalam Masalah Aqidah: 

i. Membawa kaedah tawhid “Tiga T”; Tawhid Uluhiyyah , Tawhid Rububiyyah dan Tawhid Asma’ Wa Sifat, penyelewengan mereka dalam hal tersebut adalah kerana membeza-bezakan antara Tawhid Uluhiyyah dengan
Tawhid Rububiyyah sehingga menghukum kesemua orang kafir juga beriman kepada Allah serta menetapkan Tawhid Asma’ Wa Sifat dengan erti yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jama‘ah sejati bahkan lebih menjerumus kepada aqidah tajsim yang ditolak oleh ulama Islam, pembahagian tawhid mereka tersebut tidak pernah wujud di dalam sejarah ilmu tawhid Ahli Sunnah Wal Jama‘ah tulen.



ii. Membawa fahaman “tajsim” dan “tasybih” iaitu menjerumus kepada menjisimkan Allah dengan mengatakan Allah itu adalah jisim dan menyamakan Allah dengan makhluk seperti menyifatkan Allah dengan sifat mulut, telinga, bayang-bayang dan selainnya dari sifat yang tidak pernah Allah nyatakan dalam al-Qur’an mahupun al-Hadith.



iii. Menolak pengajian sifat dua puluh (20).



iv. Menghukum syirik amalan tawassul , tabarruk , ziarah kubur dan istighathah .



v. Mengkafirkan dan mem-bid‘ah-kan ramai ulama-ulama yang diperakui kebenarannya di antaranya Imam Abu Hassan al-Asy‘ariyy, perumus aliran Ahli Sunnah Wal Jama‘ah, Imam Nawawiyy dan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalaniyy turut dihina oleh kelompok Wahhabi.



vi. Mengelirukan pengertian ta’wil , ta‘til dan tafwid .



vii. Mendakwa dari golongan Salaf.



viii. Mendakwa sesiapa yang mentakzimkan Nabi Muhammad membawa kepada syirik.

Percanggahan Dalam Furu’ Iaitu Cabangan Agama: 

i. Menganggap talqin sebagai bid‘ah sesat.
ii. Mengganggap amalan tahlil, Yasin, kenduri arwah sebagai bid‘ah sesat.
iii. Menganggap qunut Subuh sebagai bid‘ah.
iv. Tidak ada qadha’ bagi solat yang sengaja ditinggalkan.
v. Menggangap lafaz sayyiduna (taswid ) dalam solat sebagai bid‘ah sesat.
vi. Menggerak-gerakkan jari sewaktu tahiyyat awal dan akhir.
vii. Menganggap doa beramai-ramai selepas solat sebagai bid‘ah sesat.



viii. Menyatakan bahawa doa, zikir dan selawat yang tidak ada dalam al-Qur’an dan hadith sebagai bid‘ah sesat. Menganggap amalan bacaan Yasin pada malam Jumaat sebagai bid‘ah yang haram.
ix. Mengatakan bahawa sedekah pahala tidak sampai.
x. Menolak sambutan mawlid nabi, bahkan menolak cuti sempena hari mawlid Nabi Muhammad bahkan yang lebih teruk lagi menyamakan sambutan mawlid Nabi dengan perayaan Kristian.



xi. Menolak amalan barzanji/marhaban/berdiri sewaktu selawat. Sufiyyah dianggap sebagai terkesan dengan ajaran Budha dan Nasrani. Sebahagian ulama mereka menyeru agar makam Rasulullah dikeluarkan dari Masjid Nabawi atas alasan menjauhkan umat Islam dari syirik.



xii. Menganggap amalan menziarahi makam Rasulullah, para anbiya’, awliya’, ulama dan salihin sebagai bid‘ah sesat lagi syirik. Sering mengkritik aliran Sufi dan kitab-kitab Sufi yang muktabar.



SUMBER : Seminar Pemantapan Aqidah dan Perpaduan Ummah Negeri Melaka 2008 anjuran bersama Majlis Agama Islam Melaka, Jabatan Mufti Negeri Melaka, Persatuan Ulamak Negeri Melaka dan Persatuan Pegawai  Syarak Negeri Melaka pada 3 April 2008M/26 Rabi‘ul Awwal 1429H di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, Melaka.

[1] Syaikh Muhammad Basyir al-Sahsawani, Shiyanah al-Insan, ms. 473. Penulis nukil daripada kitab Syeikh Muhammad ‘Abdul Wahab & Gerakan Wahabi karangan Ibnu Syihab, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 1997, ms. 36-37.
[2] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, hadis no: 3650.
[3] Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam kitab Sunan Ibnu Majah, Kitab al-Fitan, hadis no: 3982.
[4] Hadis riwayat Imam Tirmidzi di dalam Sunan Tirmidzi, Kitab al-Iman, hadis no: 2565.
[5] Penulis rumuskan ciri-ciri ini setelah meneliti artikel-artikel di bawah:-
a)    Kertas kerja bertajuk Ahl Al-Sunnah Wal Jama’ah: Satu Pengenalan yang telah dibentangkan oleh Dr. Johari Mat semasa Seminar Ahli Sunnah Wal Jamaah Golongan Teladan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
b)    Kertas kerja bertajuk Manhaj Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah  yang telah dibentangkan oleh Dr. Abdullah Yassin semasa Seminar Ahli Sunnah Wal Jamaah Golongan Teladan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
c)     Syaikh Muhammad bin Ibrahim al-Hamd, Ciri-Ciri Aqidah Sunnah Wal Jama’ah, Buletin Dakwah An Nur, IV/No: 139/Jumaat I/Rabiul Awal, 1419H. Penulis nukil daripada laman web almanhaj.or.id.
d)       Syaikh Muhammad bin Ibrahim al-Hamd, Karakteristik Pengikut Ahlus Sunnah Wal Jama’ah, Buletin Dakwah An Nur, IV/No: 140/Jumaat II/Rabiul Awal, 1419H. Penulis nukil daripada laman web almanhaj.or.id.
 [6] Imam al-Baihaqi, Manaqib al-Syafi’i, jilid 1, ms. 470. Penulis nukil daripada kitab Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i karya Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil, ms. 112.

On | 0 Comment



Alhamdulillah. Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dapat lagi kita menjalani kehidupan pada hari ini dan seterusnya dengan nikmat-nikmat yang tidak terkira dan tidak terhingga diatas nikmat kesihatan yang dikurniaNya.

Selawat syifa adalah salah satu selawat yang sering dikatakan mempunyai pelbagai fadhilat dan kelebihan dan salah satu daripadanya adalah berkaitan dengan kesihatan dan penyembuhan penyakit.

Walaupun pernah dikatakan selawat ini boleh mendatangkan syirik, tapi ianya berlaku bila selawat ini disalahertikan dalam penterjemahannya. Menurut Dato’ Dr. Haron Din, memang terdapat sedikit kekeliruan sekiranya ianya diterjemahkan terus 'ayat by ayat'. Apa yang penting adalah kita perlu ingat bahawa segala penyakit dan musibah yang datang semua dari Allah SWT dan penyembuhnya juga dari ALLAH  SWT.

Segala ubat adalah sebagai pengantara atau asbab,dan usaha kita sebagai hambaNYA yang tetap yakin Allah SWT adalah musabab dan penentu diatas kesembuhan seseorang dan insyaAllah selawat syifa' juga boleh dijadikan salah satu amalan untuk menyembuhkan penyakit.

Khasiat Selawat Syifaa' ini, apabila dibaca tiap-tiap hari, maka dengan izin Allah :

1. Menyihatkan jasmani dan rohani.

2. Diberi keselamatan di dunia dan akhirat.

3. Hati menjadi terang benderang, dapat melihat mana yang hak dan mana yang salah.

4. Tubuh menjadi kuat, tidak mudah terkena pengaruh yang merosakkan.

Sumber Rujukan: http://farishishak.blogspot.com/2012/04/kelebihan-selawat-syifa.html#ixzz2GPoqYXeI

On | 0 Comment



Sebagai seorang Muslim, kita yakin bahawa peribadi Rasulullah s.a.w. adalah adalah  sangat  tinggi  dan  mulia  bahkan  lebih  tinggi  daripada  yang  kita gambarkan. Jika terdapat sebarang riwayat yang boleh menjatuhkan maruah atau  martabat  mana-mana  Nabi  pun,  maka  kita  hendaklah  mencampakkan sahaja riwayat tersebut.


Puak Munafik dan golongan Syiah telah memutarbelitkan fakta mengenai Nabi Muhammad s.a.w., isteri pertama, isteri kedua dan anak perempuannya, Saidatina Fatimah r.a. Mereka menggugurkan angka sepuluh daripada 19 (tahun), menjadikan ianya 9 (tahun) daripada umur sebenar Saidatina Fatimah r.a. dan Saidatina ‘Aishah r.a. (yang mana keduakeduanya  sama  usia)  ,  dan  melancarkan  dakyah  bahawa  kedua-duanya berkahwin  pada  usia  sembilan  tahun.  Yakni,  Saidina  Ali  r.a.  mengahwini Saidatina Fatimah r.a. semasa umurnya sembilan tahun, dan Nabi Muhammad s.a.w. telah mengahwini Saidatina ‘Aishah r.a. semasa usianya sembilan tahun. 

Apakah tujuannya? Puak munafik dan Syiah mahu menunjukkan bahawa umat Islam adalah kaum  bangsawan yang penuh nafsu yang berjuang untuk bangsa Arab  sahaja  (  untuk  mewujudkan  keamanan,  perpaduan  dan  kuasa  untuk bangsa  Arab  sahaja di  mana  berabad-abad  lamanya sebelum  ini  telah berperang sesama mereka dengan sia-sia );iaitu mereka itu telah berjuang demi ‘perkauman’  dan  bukannya  untuk  segenap  umat  manusia;  dengan  ini menenggelamkan mesej Islam yang sebenar iaitu untuk manusia sejagat dan menyeluruh, untuk setiap zaman dan seluruh negara. SETERUSNYA CLICK DI SINI


On | 0 Comment


 
Sedia maklum bahawa solat merupakan tiang agama dan terdiri daripada 13 rukun dalam Mazhab Syafie. Di samping itu, ia juga disertai dengan perkara-perkara sunat yang merangkumi perbuatan dan perkataan. Takrif bagi sunat ialah – perbuatan yang dituntut kepada manusia melaksanakannya bukan secara wajib, dengan diberi pahala kepada si pembuat dan tidak akan disiksa kepada yang meninggalkannya.

            Perkara sunat di dalam solat pula terbahagi kepada 3 iaitu :
·         Perkara sunat yang dilakukan sebelum solat.
·         Perkara sunat yang dilakukan semasa solat.
·         Perkara sunat yang dilakukan selepas solat.

            Secara ringkasnya doa iftitah merupakan salah satu perkara sunat yang dilakukan semasa solat dan termasuk dalam kategori sunat haiat (سنة هيئات) iaitu perkara sunat yang tidak akan menyebabkan sujud sahwi apabila ditinggalkan. Berbeza dengan sunat ab’adh (سنة أبعاض) iaitu perkara sunat yang akan menyebabkan sujud sahwi apabila ditinggalkan.

Pensyariatan Doa Iftitah Di Dalam Solat

            Antara hadis Nabi S.A.W. yang menyatakan tentang perkara ini ialah :Diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Saidina Ali k.a.w. daripada Rasulullah S.A.W. apabila berdiri untuk solat akan membaca :

وجهت) وجهي للذي فطر السماوات والأرض حنبفا مسلما وما أنا من المشركين, إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين, لا شريك له وبذلك أمرت وأنا من المسلمين.(

Aku berniatkan ibadahku kepada Yang menjadikan langit dan bumi, sebagai seorang Hanif (yang berada atas jalan lurus) dan Muslim dan bukanlah aku tergolong dari kalangan orang musyrikin. Sesungguhnya solatku, ibadahku, kehidupanku, dan kematianku hanyalah kepada Allah Tuhan sekalian alam. Tiadalah sekutu bagiNya dan dengan itulah (mentauhidkan Allah) aku diperintahkan dan aku tergolong dari kalangan orang Islam.

Tempat Bacaan Doa Iftitah & Beberapa Permasalahan Yang Berkaitan

            Disunatkan membaca doa iftitah di dalam solat fardhu dan sunat selepas takbiratul ihram kepada imam, makmum atau yang solat bersendirian dengan syarat tidak didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah. Jika dia membaca Surah Al-Fatihah atau isti’azah terlebih dahulu, maka ketika itu gugurlah sunat bacaan doa iftitah dan tidak perlu untuk diulang kembali walaupun dia terlupa, dan tidak akan membatalkan solatnya jika dia membaca doa iftitah ini selepas isti'azah / Surah Al-Fatihah.

            Tidak disunatkan membaca doa iftitah di dalam solat jenazah, dan solat fardhu yang dilaksanakan dalam tempoh waktu yang berbaki itu sedikit kerana ditakuti jika ia dibaca akan menyebabkan waktu tersebut habis. 



  
            Manakala jika bacaan doa iftitah ini ditinggalkan pada rakaat pertama secara sengaja atau tidak maka tidak perlu membacanya pada tempat / rakaat yang lain, kerana bacannya pada selain pada rakaat pertama akan menjadikan hukum pada ketika itu makruh tetapi tidak membatalkan solat.


          Seorang makmum yang masbuk tidak perlu membaca doa iftitah jika ditakuti dengan bacaannya itu akan menyebabkan Surah Al-Fatihah tidak sempat dibaca kerana ia adalah wajib berbanding doa iftitah yang sunat. Tetapi jika bacaan doa iftitah ini tidak mengganggu masa bacaan Surah Al-Fatihah maka tiada masalah untuk dia membacanya.

                 Sekiranya makmum itu mendapatkan imam pada bukan selain berdiri seperti ketika ruku', sujud dan sebagainya maka dia tidak perlu mendatangkan bacaan doa iftitah walaupun setelah berdiri daripada sujud yang kedua bersama imam.

Wallahu a’lam.

Rujukan :

1.    Al-Azkar An-Nawawiah karangan Imam Muhyiddin Abi Zakaria Yahya bin Syaraf An-Nawawi, cetakan pertama 2004/1425 H, Dar Al-Kutub Al-Islamiyyah.

2.    Al-Feqh Al-Manhaji ‘ala Mazhab Al-Imam As-Syafie karangan Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Bugho, dan Ali As-Syarbaji, cetakan kelapan tahun 2007/1428 H, Dar Al-Qalam, Damsyik.

Disediakan : Mohd Khusnaini Mongin (2010), Felo MANHAL PMRAM.  http://www.manhal.pmram.org

On | 0 Comment


Kertas kerja “Mengapa Syiah Wajib Ditolak” telah dibentang dan dikulliahkan di Masjid Negeri, Negeri Perlis.  Penulis merasakan bahawa masyarakat Islam Perlis amat perihatin tentang isu Syiah. Mereka juga sangat mengharapkan ketampilan para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang dapat menerangkan kepada umat Islam tentang bahaya dan sesatnya akidah serta fahaman Syiah.  

Penulis merasa bertanggungjawab memenuhi permintaan mereka setelah diminta memberi kulliah tentang kegiatan Syiah yang sudah lama menyebarkan fahaman mereka di seluruh Malaysia dan kini mula ingin menyebarkannya pula di Negeri Perlis.

Semoga Jabatan Agama Islam Perlis, para iman, ahli jawatan kuasa Masjid Negeri Perlis dan para ulama Perlis sentiasa berusaha menghidupkan kegiatan dakwah Islamiyah dalam usaha menghalang, menggagalkan dan membasmi kegiatan dakwah Syiah di Perlis.  Mudah-mudahan segala usaha suci mereka mendapat keredhaan dan dirahmati Allah Subhanahu wa-Ta’ala.  Amin!!

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اِنَّ الْحَمْدَ للهِ ، نَحْمَدُهُ وَنَسْتِعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ ، وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ سُرُوْرِ اَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ اَعْمَالِنَا ، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ ، وَاَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُأمَّا بَعْده:

          Baru-baru ini penulis telah diminta agar memberi penjelasan kepada umat Islam Perlis tentang bahayanya fahaman Syiah terhadap akidah Islamiyah.  Isu ini disuarakan kerana terdapatnya beberapa orang aktivis Syiah yang cuba menyebarkan fahaman Syiah di Negeri Perlis.  Oleh kerana fahaman Syiah ini benar-benar sesat, menyesatkan dan boleh memecah-belahkan umat Islam, maka dengan ‘inayah Allah penulis dengan rasa tanggungjawab dan hati yang ikhlas insya-Allah akan berusaha sedaya mungkin bekerjasama dengan para ulama dan masyarakat Islam untuk sama-sama menyekat dan membenteras fahaman sesat ini supaya tidak tersebar di kalangan umat Islam yang berakidah Ahli Sunnah wal-Jamaah walau di mana saja mereka berada.

            Agar hakikat kesesatan akidah Syiah dapat diketahui dan difahami oleh masyarakat Islam Ahli Sunnah wal-Jamaah, maka penulis menyiapkan kertas kerja tentang penyelewengan dan bahayanya fahaman serta akidah Syiah.  Kertas kerja yang ringkas ini akan dibentangkan sebagai siri kulliah akidah terutamanya di beberapa masjid di sekitar Perlis, Pulau Pinang dan Selangor insya-Allah.

            Semoga Allah membantu kita sekalian menghapuskan fahaman yang sesat ini dari terus merebak  dan sentiasa memelihara akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah, kedaulatan agama, negara, kerajaan, masyarakat dan perpaduan Ummah Islamiyah.  Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Definisi (شِيْعَة) Syiah Dan Tasyayyu' (تَشَيُّع)
            Dari segi etimologis (bahasa), Syiah bererti "Para Pengikut, Penyokong, Pendukung atau Pembela".  Contohnya:  Syiah Ali, bermaksud satu kelompok yang berupa "Penyokong, pendokong atau pembela Ali".  Menurut Terminologi (istilah) syara, Syiah bermaksud "Sesiapa yang mengangkat kepimpinan Ali radiallahu 'anhu dan anak-anaknya".  Dan apabila disebut si Fulan itu Syiah maka dia menganut atau berfahaman Syiah.

            Tasyayyu' (التشيع) pula menurut keterangan Syeikh al-Mufid ialah[1]:
التشيع لغة : هوالاتباع على وجه التدين والولاء للمتبوع علىالاخلاص.

"Tasyayyu' menurut etimologi adalah sikap mengikut yang didasari agama dan mengangkat orang yang diikuti dengan ikhlas".[2]

            Pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman kalimah syiah dalam erti faktual suatu kelompok atau fahaman belum wujud dan belum terbentuk.  Tetapi kelompok ini lahir ketika terjadinya pertikaian dan peperangan antara Syiah (penyokong) Ali dan Syiah Muawiyah.  Hanya kelompok Syiah di waktu itu kesemua mereka berfahaman Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Abdullah Bin Saba' (Si Munafik)
            Abdulah bin Saba' adalah seorang pendita Yahudi dari Yaman.  Berpura-pura masuk Islam (secara nifak) di zaman Khalifah 'Uthman bin Affan radiallahu 'anhu.  Dialah pereka ajaran Syiah yang ekstrem yang menjadi punca bersemaraknya perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam terutama dalam kelompok Syiah itu sendiri.  Abdullah bin Saba' pernah berkata yang ditujukan kepada Khalifah Ali radiallahu 'anhu:  "Engkaulah Allah".[3]  Maka Ali mengisytiharkan bunuh terhadap Abdullah bin Saba' tetapi ditegah oleh Ibn Abbas.  Penyokong Ali membuangnya ke Madain (Ibu Negeri Iran lama).

            Abdullah bin Saba' orang pertama mengkafirkan Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman dan tidak mengiktiraf kekhalifahan kecuali hanya dari kalangan Ahli Bait".[4]  Seorang ulama Syiah Muhammad Husin al-Zain pernah memperkatakan tentang Abdullah bin Saba':
"Abdullah bin Saba' mengeluarkan qaul (yang sesat), mengajarkan fahaman yang ghalu (keterlaluan)..... dan perbuatannya sangat melampaui batas".[5]

            Saad bin Abdullah al-Qumy seorang ulama, pemimpin serta ahli hukum Syiah yang lahir pada 229H mengakui wujudnya Abdullah bin Saba'.  Beliau menyebut beberapa nama orang yang berkonspirasi yang digelar sebagai Saba'iyah.  Menurut beliau lagi bahawa komplot Saba'iyah adalah firqah pertama dalam Islam yang mengeluarkan perkatan-perkataan yang ghalu (keterlaluan).

Saad bin Abdullah al-Qumy ulama besar Syiah yang masyhur ini telah memastikan bahawa Abdullah bin Saba' adalah orang yang mengeluarkan perkataan dan menampakkan dirinya mengecam dan menentang Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman radiallahu anhum serta tidak mengiktiraf kekhalifahan mereka.[6]

            Pegangan Syiah Imamiyah yang ada sekarang adalah berasaskan ideologi dan doktrin sesat Abdullah bin Saba'. Fahaman ini disampaikan (dipelihara) dalam bentuk riwayat hadis yang dinasabkan kepada keluarga Nabi (Ahli Bait) dengan penuh kebohongan tetapi diterima oleh mereka yang jahil.[7]

Syiah Mengkafirkan Para Sahabat
            Agama Syiah mengkafirkan para pembesar sahabat secara umum.  Pengkafiran ini boleh dilihat dalam kitab-kitab besar Syiah yang ditulis oleh ulama mereka, contohnya ialah wasiat para ulama mereka:

1.     Abu Ja'far berkata:
"Semua manusia (kaum muslimin Ahli Sunnah wal-Jamaah) menjadi Ahli Jahiliyah (kafir/murtad setelah kewafatan Rasulullah) kecuali empat orang, Ali, Miqdad, Salman dan Abu Dzar".[8]

2.     Al-Kulaini[9] mensifatkan Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman telah terkeluar dari kalangan orang yang beriman (murtad/kafir) lantaran tidak melantik Ali sebagai khalifah setelah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam wafat.[10]  Malah al-Kulaini mengkafirkan seluruh penduduk Mekkah dan Madinah.  Menurut Kulaini:
"Penduduk Madinah lebih buruk dari penduduk Mekkah dan penduduk Mekkah telah kufur kepada Allah dengan terang-terang".[11]
         Al-Kulaini juga menetapkan dalam kitabnya al-Kafi:
"Sesiapa yang tidak beriman kepada Imam Dua Belas maka dia adalah kafir walaupun dia keturunan Ali atau Fatimah".[12]

3.     Al-Majlisi  seorang ulama besar Syiah menegaskan:
“Bahawa mereka (Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman) adalah pencuri yang khianat dan murtad, keluar dari agama, semoga Allah melaknat mereka dan semua orang yang mengikut mereka dalam kejahatan mereka, sama ada orang dahulu atau orang-orang kemudian".[13]

Budak Ali bin Husin berkata: 
"Saya pernah bertanya kepada Ali bin Husin tentang Abu Bakar dan 'Umar.  Maka dia menjawab:  Keduanya kafir dan sesiapa yang mencintainya juga kafir".[14]

4.     Abu Basir (ulama Syiah) menegaskan:
"Sesungguhnya penduduk Mekkah telah kufur kepada Allah secara terang-terang dan penduduk Madinah lebih buruk dari penduduk Mekkah, lebih buruk tujuh puluh kali dari penduduk Mekkah".[15]
            Demikianlah kenyataan, fatwa, kepercayaan, pandangan dan tuduhan jahat para ulama Syiah terhadap Ahli Sunnah wal-Jamaah sama ada terhadap ulama atau orang awamnya.
Al-Quran Menurut Syiah

            Menurut kepercayaan penganut Syiah al-Quran yang ada sekarang sudah diubah-suai, ditambah dan dikurangi oleh para sahabat dan tidak asli.  Al-Quran yang asli berada di tangan Ali yang kemudian diwariskan kepada putera-puteranya.  Menurut Syiah lagi bahawa pada masa sekarang ini al-Quran yang asli berada di tangan Imam Mahadi al-Muntazar.

Al-Kusyi pula berkata:
"Tidak sedikitpun isi kandungan di dalam al-Quran (yang digunakan oleh Ahli Sunnah wal-Jamaah sekarang,  Pent.) yang boleh kita jadikan pegangan".[16]

            Menurut para ulama Syiah:
“Seseorang itu akan dianggap kafir dan masuk neraka kerana tidak mengikut Imam Dua Belas Syiah atau kafir terhadap Syiah”.
Syiah banyak merubah ayat-ayat al-Quran dan tafsirannya.  Contohnya ayat:
مَاسَلَكَكُمْ فِى سَقَرٍ
"Mengapa kamu masuk neraka?"
             (Menurut penafsiran ulama Syiah):
  قَالُوْا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّيْن
"Orang-orang kafir menjawab, Kami tidak solat".
            Ulama Syiah merubah tafsirannya yang sebenarnya kepada maksud dan tafsiran:
"Kami (masuk neraka kerana) tidak mengikut Imam (Syiah)".[17]
            Begitulah kekarutan, khurafat dan batilnya kepercayaan penganut syiah yang telah disepakati oleh para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah sebagai akidah yang sesat lagi menyesatkan.

Hadis Menurut Syiah
            Syiah menolak hadis-hadis sahih yang diriwayatkan oleh muhaddis Ahli Sunnah wal Jamaah, seperti Imam Bukhari, Muslim, Turmizi dan yang lainnya.  Syiah hanya menerima hadis yang diriwayatkan oleh perawi Ahli Bait.  Menurut Syiah hadis bukan semata-mata dari Nabi tetapi dari Imam Dua Belas yang maksum.  Nilai perkataan imam yang maksum senilai dengan wahyu dan sabda nabi.[18]
Syiah Mengkafirkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah

1.     Syiah menggelar golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah sebagai Nasibi(نَاصِبِي)  "Penipu, Pembangkang atau penentang Ali bin Abi Talib" kerana mereka mendahulukan Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman sebagai khalifah.
         Begitu juga ulama Syiah mengkafirkan pengikut mazhab Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi kerana mereka digolongkan sebagai an-Nasibi.  Menurut ulama Syiah lagi:
"Dalam kalangan ulama (Ahli Sunnah) dari Malik, Abi Hanifah, Syafie, Ahmad dan Bukhari semua mereka kafir dan terlaknat".[19]
         Keyakinan Syiah yang sesat ini diambil dari keterangan ulama mereka Syeikh Husin al-'Usfur ad-Darazi al-Bahrani.  Beliau menegaskan:
"Riwayat-riwayat para imam menyebutkan bahawa an-Nasibi (si Kafir) adalah mereka yang digelar Ahli Sunnah wal-Jamaah".[20]

2.     Syiah menganggap seluruh Ahli Sunnah wal-Jamaah kafir yang setara dengan orang-orang kafir musyrikin dan najis.  Berkata Abu Qasim al-Musawi al-Khuri (ulama besar Syiah):
         "Najis ada sepuluh jenis, yang ke sepuluh adalah orang kafir, iaitu yang tidak beragama atau yang beragama bukan Islam atau beragama Islam menolak yang datang dari Islam.  Dalam hal ini tidak ada perbezaan antara murtad, kafir asli, kafir zimmi, Khawarij yang ghalu atau an-Nasibi (Ahli Sunnah wal-Jamaah)".[21]
         Berkata Ruhullah al-Musawi (ulama Syiah):
         "Sesungguhnya an-Nasibi (Ahli Sunnah wal-Jamaah) dan Khawarij dilaknati Allah Subhanahu wa-Ta'ala.  Keduanya adalah najis tanpa diragukan lagi".[22]

3.     Syiah mengkafirkan Ahli Sunnah kerana tidak mengiktiraf (tidak mengimani) Imam Dua Belas.  Berkata Yusuf al-Bahrani (ulama Syiah):
         "Tidak ada perbezaan antara orang yang kafir kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala, RasulNya dan yang kafir kepada para Imam Dua Belas".[23]

         Dan berkata Kamil Sulaiman (ulama Syiah):
         "Sesiapa yang meyakini para Imam Dua Belas maka dia adalah orang yang beriman dan sesiapa yang mengingkarinya dia adalah kafir".[24]

Syiah menghalalkan darah dan harta Ahli Sunnah.  Berkata Muhammad bin Ali Babawaihi al-Qummi, dia meriwayatkan dari Daud bin Farqad:
         "Aku bertanya kepada Abu Abdullah 'alaihis salam:  Bagaimana pendapat engkau membunuh an-Nasibi (Ahli Sunnah wal-Jamaah)?  Dia menjawab:  Halal darahnya akan tetapi lebih selamat bila engkau sanggup menimpakan dengan tembok atau menenggelamkan (mati lemas) ke dalam air supaya tidak ada buktinya.  Aku bertanya lagi:  Bagaimana dengan hartanya?  Dia menjawab:  Rampas sahaja semampu mungkin".[25]
         Berkata Abu Ja'far ath-Thusi (ulama Syiah):
       
         "Berkata Abu Abdullah 'alaihis salam (Imam as-Sadiq):  Ambillah harta an-Nasibi (Ahli Sunnah wal-Jamaah) dari jalan apapun kamu mendapatkannya dan berikan kepada kami seperlima".[26]

         Yusuf al-Bahrani berkata (ulama Syiah):
         "Dari dahulu sehinggalah sekarang, bahawa an-Nasibi kafir dan najis secara hukum, dibolehkan mengambil segala harta benda mereka bahkan dihalalkan membunuhnya".[27]
            Begitulah sikap golongan Syiah terhadap Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mereka gelar sebagai an-Nasibi.  Mereka bukan sahaja memusuhi Ahli Sunnah malah mengistiharkan bunuh dan rampas harta benda Ahli Sunnah wal-Jamaah.  Dan rampasan tersebut dianggap oleh mereka sebagai ganimah (harta rampasan perang).

Agama Syiah Mewajibkan Taqiyah
            Taqiyah (dissimulation) adalah satu prinsip yang diyakini oleh syiah Imamiyah.  Berpegang kepada taqiyah adalah wajib bagi setiap penganut Syiah.  Ianya adalah satu sikap yang menyembunyikan kebenaran yang (kononnya) jika didedahkan akan membawa kemusnahan diri atau agama seseorang Syiah.[28]  Pada mulanya taqiyah dilakukan kerana takut terjadinya penindasan dari pihak pemerintah.  Tetapi selanjutnya diamalkan untuk menipu, berbohong dan seterusnya untuk menghalalkan sesuatu yang haram atau sebaliknya.

Orang-orang Syiah akan menyamar sebagai Ahli Sunnah secara taqiyyah untuk memerangkap Ahli Sunnah yang kurang faham akan agama mereka.  Tujuannya supaya dapat dirosakkan fahaman, akidah dan amal ibadahnya.

Abu Ja'far berkata:
"Taqiyah adalah agamaku dan agama nenek moyangku.  Dan tidak beragama bagi sesiapa yang tidak bertaqiyah".[29]

Abdullah berkata:

"Wahai Abu 'Umar!  Sesungguhnya sembilan persepuluh dari agama terletak pada taqiyyah, tidak beragama bagi sesiapa yang tidak bertaqiyyah pada segala sesuatu, kecuali arak dan menyapu sepatu".[30]

Diriwayatkan dari Ali bin Muhammad:

"Wahai Daud!  Sekiranya kamu mengatakan bahawa orang yang meninggalkan taqiyah sama seperti orang yang meninggalkan solat, maka sesungguhnya betullah kata-katamu itu".[31]

          Sebenarnya taqiyyah dalam agama Syiah adalah perbuatan nifak, pembuat nifak adalah seorang munafik.  Tidak ada hadis sahih yang menghalalkan taqiyah sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Syiah.  Si Munafik pula dilaknat Allah dan ditempat di neraka yang paling bawah (kerak neraka), maka Ahli Sunnah wal-Jamaah diharamkan dari bertaqiyah.
Syariat Syiah Yang Menyesatkan

            Syariat Syiah yang sebenar amat bertentangan dengan syariat Ahli Sunnah wal-Jamaah.  Syiah digolongkan oleh Imam Syahrastani di dalam bukunya “Al-Milal Wan-Nihal” dan al-Bagdadi dalam bukunya “Al-Faraq Bain al-Firaq” segabai golongan 72 yang ke neraka, kerana penganut Syiah selain mengkafirkan Amirul Mukminin Abu Bakar, ‘Umar al-Khatab, Uthman radiallahu anhum dan para sahabat yang lain, mereka juga lebih meyakini syariat Daud 'alaihis salam  daripada syariat Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam.  Abu Ja'far berkata:

"Apabila Imam ghaib (Imam Mahdi) datang, ia akan memerintah dengan hukum syariat Daud (bukan syariat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, pent)".[32]

Nikah Mut'ah
            Syiah menghalalkan nikah mut'ah seberapa banyak, beberapa kali yang diinginkan dan yang semampu.  Mereka menghalalkan nikah mut'ah sehingga ke Hari Kiamat.  Sebaliknya Ahli Sunnah wal-Jamaah telah mengharamkan nikah mut'ah sehinggalah ke Hari Kiamat.  Antara hadis (hadis-hadis sahih) dari Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam yang mengharamkan nikah mut’ah ialah:

عَنْ عَلِيِّ اَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ نِكَاحِ الْمُتْعَةِ يَوْمَ خَيْبَرَ وَعَنْ لُحُوْمِ الْحُمُرِ اْلاَهْلِيَّةِ.

"Dari Ali (Bin Abi Talib):  Sesungguhnya Nabi Sallallahu 'alaihi wa-sallam telah melarang nikah mut'ah pada hari peperangan Khaibar dan baginda mengharamkan makan daging keldai kampung".[33]

اَنَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى يَوْمِ الْفَتْحِ عَنْ مُتْعَةِ النِّسَاءِ.

"Sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam melarang nikah mut'ah pada hari futuh (pembukaan) Mekkah".[34]
            Antara tanda-tanda penganut agama Syiah ialah menghalalkan nikah mut’ah walaupun telah diharamkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.  Golongan Syiah telah menyelewengkan hadis-hadis sahih yang mengharamkan mut’ah.  Oleh itu, orang-orang beriman yang mengakui sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah perlu membenteras fahaman dan ajaran Syiah kerana Syiah adalah golongan yang sesat lagi menyesatkan.

RUKUN IMAN AGAMA SYIAH

            Rukun iman Agama Syiah berbeza dengan rukum iman Ahli Sunnah wal-Jamaah, kerana rukun iman Syiah hanya lima perkara, iaitu:
1.     Beriman kepada keEsaan Allah    -             (التوحيد)
2.     Beriman kepada Keadilan         -                  (العدل)
3.     Beriman kepada Kenabian      -                    (النبوة)
4.     Beriman kepada Imam          -                       (الامانة)
5.     Beriman kepada Hari Kiamat    -                 (المعاه)

            Imam Malik secara terang-terangan telah mengkafirkan golongan Syiah kerana golongan ini membenci para sahabat Nabi dan sesiapa yang membenci sahabat Nabi adalah kafir.  Hal ini telah disepakati oleh sebahagian besar ulama.[35]
Imam Malik rahimahullah juga pernah menjelaskan tentang Syiah:
"Mereka (Syiah) jangan diajak berbual dan jangan pula diberi perhatian, mereka adalah golongan pembohong".[36]

Imam Syafie rahimahullah pula berwasiat:

"Belum pernah aku saksikan di kalangan manapun manusia yang begitu berani menjadi pendusta dan sebagai saksi-saksi palsu seperti golongan Syiah".[37]

             Begitulah fatwa-fatwa para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah terhadap golongan Syiah.  Tidak terdapat seorangpun dari kalangan mereka yang menerima Syiah sama ada fahaman atau akidah mereka.  Oleh itu, berwaspadalah terhadap gerakan, doktrin dan di’ayah Siyah, kerana pada hakikatnya mereka adalah pembohong yang hanya mengajak kepada kesesatan, pecah-belah dan kehancuran umat Islam.  Wallahua’lam.  Walhamdulillahi rabbil ‘alamin.

[1].  Syeikh al-Mufid adalah seorang ulama Syiah abad (414 H/ 1022M).
[2].  Lihat:  Awaailul Maqalat. hlm. 2.  Syeikh al-Mufid.
[3].  Lihat:  Rijal al-Kusyi. Hlm. 106-108.  (Kitab ini "Rijal al-Kusyi") adalah kitab tertua menjadi rujukan dan pegangan golongan Syiah.
[4].  Lihat:  Usul Mazhabi asy-Syiah al-Imamiyah al-Ithna 'Asyariah.  (1/74).
[5].  Lihat:  الشيعة فى التاريخ  Hlm. 213.  Muhammad Husin al-Zain.
[6].  Lihat:  Usul Mazhabi asy-Syiah al-Imamiyah al-Ithna 'Asariyah. (1/74).
[7].  Lihat:  Usul Mazhabi asy-Syiah al-Imamiyah al-Ithan 'Asariyah. (1/77).
[8].  Lihat:  Tafsir as-Safi.  (1/389).
[9].  Al-Kulaini, nama penuhnya Muhammad bin Yakub al-Kulaini. Meninggal dunia pada 328H
[10]. Lihat:  Usul al-Kafi. (1/488).
[11]. Ibid.  (2/409).
[12]. Lihat:  Al-Kafi. (1/372-374).
[13]. Lihat: بحار الانوار.  (4/385). Muhammad Baqir al-Majlisi
[14]. Ibid.   (2/216).
[15]. Ibid.   (2/410).
[16]. Lihat:  As-Safi. (1/33).
[17]. Lihat:  Usul Kafi.  (1/438).
[18]. Keyakinan bahawa para imam maksum menjadikan semua perkataan yang keluar dari mereka adalah sahih.  Maka tidak diperlukan menyandarkan sanadnya kepada Rasulullah s.a.w sebagaimana di kalangan Ahlu Sunnah wal-Jamaah.  Lihat:  Tarikh al-Imamiyah. Hlm. 140.  Abdullah Faiyad.
[19]. Lihat:  Asy-Syiah wa as-Sunnah.  Hlm.  7.  Ihsan Ilahi Zahiri.
[20]. Lihat:  Al-Masail al-Khurasaniyah. Hlm. 147.
[21]. Lihat:  Manhaj Shalihin. (1/116).
[22]. Lihat:  Tahrirul al-Wasilah. (1/116).   Cetakan Beirut.
[23]. Lihat:  Al-Hadiq an-Nadirah. (28/153).   Cetakan Beirut.
[24]  Lihat:  Kitabul Khalash Fi Zilli al-Qaimmul Mahdi.  Hlm.  44.  Cetakan Beirut, Lebnon.
[25]. Lihat:  'Ilal asy-Syar'i.  Hlm. 44.  Cetakan Beirut.
[26]. Lihat:  Tahzibul Ahkam.  (1V/122)   Cetakan Tehran.
[27]. Lihat:  Al-Hadiq an-Nadirah Fi Ahkam al-Atraf at-Tahirah.  (X11/323-324).
[28]. Lihat:  Al-Qummi, terjemahan Asaf .A Fyze.  Hlm. 71.
[29]. Lihat:   Usul Min Kafi.  (2/219).
[30]. Ibid.
[31]. Lihat:  Wasail asy-Syiah (X1/466).  Cetakan Tehran.
[32]. Lihat:  Tarikh Ma Ba'da Zuhur.  Hlm. 728.  Cetakan Beirut.
[33]. H/R Bukhari (5/78 dan 6/129).   Muslim (9/189-190).
[34]. H/R Muslim.  (4/133).
[35]. Lihat:  Sunnah dan Syiah, Mungkinkah Dipertemukan?  Hlm. 57.  Dr. Abdullah Muhammad Gharib.  Edisi pertama,  Surabaya. 1984.
[36]. Ibid.  Hlm.  57.
[37]. Ibid.  hlm.  57.

On | 0 Comment



“A’udzubillahi minasyaithonirrojiim”
-A’udzu : Mohon perlindungan, membentengi, meminta penjagaan, berlindung kepada Alloh.
-Billahi : Rabb atas segala sesuatu yang diIlahkan dan disembah sendirian, tidak ada sekutu bagiNya.
-Asyaithon : Iblis yang Alloh melaknatnya.
-Arrojiim : Terkutuk, terjauhkan, tertolak dari semua rahmat dan kebaikan, yang tidak akan mendatangkan kejelekan kepada dienku dan duniaku.

Makna Isti’adzah:
Aku berlindung dan membentengi diri kepada Alloh Rabbku dari syaithon yang terkutuk yang mengganggu bacaanku atau menyesatkanku sehingga aku binasa dan celaka, adalah Nabi SAW apabila bangun pada tengah malam maka memulai shalatnya dengan takbir kemudian beliau mengucapkan :”Aku berlindung kepada Alloh yang maha mendengar lagi maha mengetahui dari syaithon yang terkutuk dari sentuhan, tiupan dan semburannya .”(H.R Ashabussunan).

Hukum Isti’adzah:
Disunnahkan bagi setiap yang ingin membaca sesuatu dari Alqur’an satu surat atau lebih, ucapkanlah :” أعوذبا الله من الشيطان الر جيم”(A’udzubillahi minasyaithonirrojiim), kemudian baru membacanya.
Seperti yang disukai bagi orang yang sedang marah atau orang yang khawatir akan kejelekan yang akan menimpanya maka berlindunglah kepada Alloh dari syaithon yang terkutuk.

BASMALAH 
                    

Iaitu ucapan: Bismillahirrahmanirrohiim.
Makna Basmalah
iaitu memulai dengan menyebut Asma Alloh dan mengingatNya sebelum segala sesuatu, mengharap pertolongan kepada Alloh Jalla wa ’ala disemua urusan, hanya meminta pertolongan kepadaNya saja, sesungguhnya Rabb yang disembah, yang memiliki segala kelebihan, kemurahan hati, keluasan rahmah, banyak keutamaanNya. Dan kebaikan yang rahmatNya mencakup atas segala sesuatu dan kebaikanNya meliputi seluruh makhluk.

Lafadz Jalalah (Alloh)
Yang memiliki hak untuk disembah dan diibadahi atas semua makhlukNya, dan lafadz Alloh adalah nama dari dzat Rabb Subhanahu Wa Ta’ala yang bisa dikenali dengan lafadz itu..
Arrahman yaitu nama dari nama-nama Alloh Ta’ala yang diambil dari kata Arrahmah yang menunjukan atas banyaknya rahmatNya.Dan yang dimaksud dengan rahmah adalah mencakup seluruh makhluknya, menciptakannya dan memberi rizki kepada mereka.Dan itu menunjukkan kesempurnaan nikmatNya, untuk itu dikatakan”Wahai yang memiliki rahmat didunia”.
Arrahiim yaitu: nama Alloh Ta’ala, yang diambil dari kata Arrahmah yang menunjukan atas banyaknya rahmatNya, dan khususnya kepada orang-orang mukmin, lebih khusus diakhirat, Alloh berfirman:”Dan adalah Alloh kepada orang-orang mukmin sangat rahiim.”untuk itu dikatakan “Wahai yang memiliki rahiim diakhirat”.

Hukum Basmalah
Disyariatkan untuk hamba dan dianjurkan mengucapkan basmalah ketika membacanya pada setiap surat dari kitab Alloh Ta’ala kecuali ketika membaca surat At-taubah, maka tidaklah membacanya dengan mengucap basmalah, dan ketika sholat wajib mengucapkan basmalah dengan suara lirih (pelan) meskipun melakukan sholat jahriyah (dikeraskan bacaannya), dan disunnahkan bagi hamba untuk mengucapkan Bismillah ketika makan, minum, memakai pakaian, ketika masuk masjid dan keluar darinya, dan ketika naik kendaraan, dan dalam setiap urusan yang penting sebagimana wajibnya bagi hamba untuk mengucapkan Bismillah, Allohuakbar ketika menyembelih dan nahr (menyembelih unta dengan cara menusuk dileher).

Sumber : Kitab Judul Asli: Syarh Addurusumuhimah liaamatilummah, Hal:14-16
Penulis: Syaikh Abdullah bin Abdul Aziz bin Baz (Semoga Alloh merahmatinya)
Dihimpun: Muhammad Ibrahim bin Ali bin Ibrahim Al’arfj
Penerbit:Daar Ashomii”i
Penerjemah:Rujito Ibnu Hasyim

On | 0 Comment