ISLAM ADALAH PILIHAN CARA HIDUP

Sesungguhnya Islam itu syumul dan meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Sebagai seorang muslim selain perlu menunaikan hak-hak Allah S.W.T, hak sesama saudara seagama juga perlu dititikberatkan. Berpandukan hadis Rasulullah S.A.W terdapat 6 hak sesama muslim yang perlu kita laksanakan.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud,

“Hak seorang muslim terhadap sesama muslim itu ada enam, iaitu apabila engkau berjumpa dengannya ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu maka penuhilah, apabila dia meminta nasihat kepadamu nasihatilah, apabila dia bersin dan mengucapkan Alhamdulillah maka doakanlah dengan ucapan yarhamukallah (semoga Allah memberikan rahmat kepadamu), apabila dia sakit ziarahilah, dan apabila dia meninggal dunia iringilah (jenazahnya).” (Hadis Riwayat Muslim)

Pertama yang dinyatakan dalam hadis tersebut ialah mengenai pengucapan salam kepada muslim yang lain. Salam merupakan identiti umat Islam dan pengertian salam itu sendiri membuktikan bahawa Islam itu indah serta merupakan agama yang mementingkan kedamaian dan keamanan. Namun begitu , perkara yang sering diamalkan oleh segelintir daripada golongan masyarakat kita adalah memberi salam hanya kepada rakan-rakan yang dikenali sahaja. Hal ini perlulah diperbetulkan kerana seharusnya ucapan salam itu diberikan kepada semua orang Islam sama ada mereka yang dikenali ataupun tidak kerana sebagai muslim sesungguhnya kita semua adalah bersaudara. Hukum memberi salam adalah sunat dan salam itu perlulah disambut penerimanya kerana hukum menjawabnya pula adalah wajib .


“Demi diriku ditanganNya, kamu tidak (boleh) masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu (belum) beriman sehingga kamu saling mengasihi (sesama kamu). (Inginkah kamu) aku tunjukkan suatu (cara) yang jika kamu melakukannya maka akan terjalinlah kasih sayang? Iaitu: Ucapkanlah salam sesama kamu”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Kedua, hak yang perlu ditunaikan ialah memenuhi undangannya sekiranya sudah dijemput. Niat baik dan penghormatan yang diberikan saudara kita itu hendaklah cuba dipenuhi dengan sehabis baik melainkan ada keuzuran ataupun hal yang sangat tidak dapat dielakkan. Kita tidak seharusnya bersikap berat sebelah dengan hanya memenuhi undangan mereka yang berjawatan dan berpangkat tinggi sahaja dan mengabaikan undangan yang lain. Hal ini pastinya akan menimbulkan rasa sedih kepada orang yang telah memberikan undangan itu. Sekiranya kita betul-betul tidak dapat menghadirkan diri, seharusnya tuan rumah dimaklumkan lebih awal agar dia tidak ternanti-nanti.

Ketiga adalah mengenai nasihat. Sekiranya ada antara rakan-rakan kita atau sesiapa sahaja yang meminta nasihat, hendaklah kita memenuhi haknya dengan menasihatinya. Sekiranya apa yang dia hendak lakukan itu sesuatu yang buruk, hendaklah kita menasihatkan dia agar meninggalkannya. Begitu juga sebaliknya, sekiranya ia adalah perkara yang baik hendaklah kita menyokongnya.Kita perlulah membuat pertimbangan dengan jujur dan ikhlas, seolah-olah nasihat itu adalah untuk diri kita sendiri. Cara kita memberikan nasihat itu juga seharusnya kena pada caranya agar kata-kata kita itu tidak mengaibkan atau mengguris perasaan golongan yang dinasihati. Namun, adalah lebih baik sekiranya kita dapat sentiasa memberikan nasihat dan teguran yang berhemah walaupun tidak dipinta.

Keempat ialah mendoakan muslim yang lain dengan mengucapkan yarhamukallah (semoga Allah merahmati kamu) apabila dia bersin dan bertahmid dengan menyebut Alhamdulillah. Namun hak ini tidak perlu pula dipenuhi sekiranya seseorang muslim itu bersin tetapi ia tidak bertahmid kepada Allah.

Kelima, apabila seseorang muslim itu sakit maka hendaklah kita menziarahinya,lebih-lebih lagi sekiranya dia adalah saudara mara atau sahabat kita sendiri. Menziarahi orang yang sakit akan menimbulkan rasa keinsafan dalam diri dan membuatkan diri kita berasa bersyukur dengan nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah. Namun dalam keterujaan kita menziarahi mereka, janganlah pula kita lupa dengan adab-adab yang perlu diamalkan supaya kehadiran kita itu tidak menambahkan kesusahan kepada pesakit. Antara adab yang boleh diamalkan ialah tidak duduk terlalu lama dengan pesakit (melainkan kehadiran kita dapat mententeramkan hatinya ) , bertanya khabar kepada pesakit dan juga mendoakan pesakit . Kita juga hendaklah mengingatkan pesakit untuk sentiasa berzikir kepada Allah dan bersabar dengan apa yang menimpa dirinya serta menganggap semua itu adalah ujian Allah kepada para hambanya.

Keenam ialah mengiringi jenazahnya setelah dia meninggal dunia. Hak ini juga perlulah dipenuhi dan ia akan dibalas dengan pahala yang besar,insyaAllah.

“Siapa yang menghantar jenazah hingga menyembahyangkannya maka baginya pahala satu qhirath, dan siapa yang mengantarkannya hingga dikebumikan maka baginya pahala dua qhirath”, baginda ditanya: “Apakah yang dimaksud qhirath ?”, baginda menjawab: “Bagaikan dua gunung yang besar“ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sumber: MultimediaPERMA (2011). Hak dan kewajipan terhadap sesama muslim.

No comments for "HAK DAN KEWAJIPAN SESAMA MUSLIM."!