ISLAM ADALAH PILIHAN CARA HIDUP

ANTARA SENARAI RUMAH ANAK- ANAK YATIM DI MALAYSIA.


 Anak yatim (Bahasa Arab: يتيم‎) ialah kanak-kanak yang kematian salah seorang, sama ada ibu atau bapa. Anak-anak yang kematian kedua ibu bapa biasanya dikenali sebagai yatim piatu. Mari kita merenung akan nasib anak-anak yatim yang sudah kematian insan yang sepatutnya menjaga mereka. Mereka telah hilang kasih sayang ibu dan bapa. Insan yang sepatutnya menjadi tempat untuk mereka berteduh atau bergantung nasib telah pergi buat selama-lamanya. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang penuh kasih sayang dan perhatian seperti anak-anak kita.

Bukan sahaja kehausan kasih dan sayang, malah nasib dan masa depan mereka seakan gelap tanpa masyarakat mahu membantu mereka. Mereka tinggal di rumah anak-anak yatim beramai-ramai. Ditinggalkan di sana. Mereka menangis di sudut-sudut bilik. Mereka tertanya-tanya adakah masih ada cahaya untuk mereka pada esok hari? Namun, tiada siapa yang peduli. Sesiapa yang pernah menjadi anak yatim, dia tahulah apa rasanya… sukar untuk disusun dalam ayat dan kata-kata.

Kedudukan Anak Yatim Di Dalam ISLAM

Di dalam al-Quran banyak dianjurkan agar anak-anak yatim dibela nasibnya. Perbuatan membantu dan memberi makan anak-anak yatim merupakan perbuatan yang mulia, malah ia di antara keutamaan amalan soleh yang wajar diberi perhatian oleh setiap mukmin.
ALLAH melarang manusia berbuat zalim terhadap mereka. Malah, seseorang yang berlaku zalim, tidak menjaga hak dan memberi makan anak yatim dianggap sebagai mendustakan agama. ALLAH subhanahu wata’ala berfirman dalam surah al-Ma`uun ayat 1-3:

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ
Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama?
فَذَلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ
Itulah orang yang mengherdik anak yatim
وَلا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ
dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.

Tidakkah di hati kita berasa gerun dan gementar serta didatangi perasaan serba tidak kena apabila membaca ayat di atas?

Walaupun mungkin kita tidak mengherdik anak yatim, dan barangkali tidak terlibat bermuamalah dan berurusan dengan anak yatim, namun janganlah pula kita mengabaikan nasib dan hak mereka untuk terus hidup di muka bumi ini.

Anak-anak yatim ini bukan sahaja hilang tempat bergantung kasih sayang, malah turut juga dihimpit kemiskinan dan kesusahan dalam meneruskan survival kehidupan yang amat mencabar.
Namun, di tengah-tengah manusia yang alpa dan lalai dari tanggungjawab ini, ada juga sebahagian ahli masyarakat yang telah mengorbankan jiwa, harta, tenaga dan masa bagi membela nasib anak-anak yatim. Sebahagian mereka turut juga mempunyai keluarga, anak-anak, pekerjaan, tanggungan dan lain-lain urusan yang menyibukkan mereka. Namun, mereka masih dapat berkhidmat kepada anak-anak yatim ini.

Betapa sucinya hati mereka. Saya dan barangkali anda juga tidak mempunyai kehebatan jiwa seperti mereka. Dalam kesusahan dan kesempitan wang, mereka masih terus istiqamah membela nasib anak-anak yatim. Barangkali hati mereka telah disinari iman yang terang dengan galakan-galakan dari ALLAH subhanahu wata’ala dan juga dari hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Kelebihan Membela Anak-anak Yatim

Kelebihan membela anak-anak yatim banyak disabdakan oleh Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Cukup dengan hadith berikut sebagai pembakar semangat:
“Aku dan pengasuh anak yatim (kelak) di syurga seperti dua jari ini (Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam menunjuk jari telunjuk dan jari tengah dan merapatkan keduanya.” (HR. Bukhari)
“Demi yang mengutus aku dengan hak, ALLAH tidak akan menyeksa orang yang mengasihi dan menyayangi anak yatim, berbicara kepadanya dengan lembut dan mengasihi keyatiman serta kelemahannya…” (HR At-Tabhrani)
SubhanALLAH, sungguh mulia bagi yang menjadi pembela anak-anak yatim. Mereka akan mendampingi Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pada hari akhirat nanti dengan dampingan yang sangat rapat. Bukankah ini menjadi harapan kita?


Apa Yang Boleh Kita Bantu?

Ayuh, saya mengajak diri saya yang selalu lupa ini dan anda semua agar bertindak sekarang. Sekarang!!! Jika mempunyai kemampuan, ziarahlah ke rumah anak-anak yatim yang berdekatan dan tanyalah apa yang boleh kalian sumbangkan. Kalau boleh ambil seorang anak yatim sebagai anak angkat lagi bagus. Kalau tak mampu, paling kurang dermalah.

SUMBER: Shahmuzir ( 2010 ). Belalah Nasib Anak Yatim, Jangan Biarkan Mereka. http://muzir.wordpress.com/2010/04/21/belalah-anak-yatim-jangan-biarkan-mereka/

No comments for "KELEBIHAN MEMBELA ANAK YATIM"!