ISLAM ADALAH PILIHAN CARA HIDUP

ISLAM agama keamanan. Menurut Dr Mahmood Mustafa Ayoub dalam buku karangannya, Islam Faith And Practice, Islam adalah kalimah terbitan daripada perkataan 'salama' yang bermaksud 'mempersetujui dan memperakui sesuatu atau memiliki keamanan.' Kata kerjanya ialah ‘aslama’ yang bermaksud menyerahkan segala urusan hidup kepada kehendak Allah. Muslim adalah mereka yang melakukan penyerahan itu.

Agama Islam mempunyai prinsip undang-undang bertujuan memberi keamanan kepada manusia. Ini dapat dilihat daripada pelaksanaan syariah dalam kehidupan manusia. Al-Quran menjelaskan matlamat ini di dalam surah Anbia, ayat 107 yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.” Inilah tujuan sebenar perutusan Rasulullah SAW yang memperkenalkan sistem syariah Islam kepada manusia. Syariah mempunyai konsep keadilan dan keamanan.

Dr Mohammad Hashim Kamali dalam bukunya, Principles Of Islamic Jurisprudence menyatakan kalimah rahmah membawa pengertian jelas mengenai apa yang ingin disampaikan oleh al-Quran dan Sunnah iaitu menghilangkan kemudaratan yang wujud dalam kehidupan manusia, mengelakkan daripada terjadinya sebarang kerosakan dan membina keadilan seterusnya membina keamanan sejagat.

Dengan penjelasan ini, rahmat yang dibawa Nabi Muhammad SAW adalah pelaksanaan maslahah dalam kehidupan manusia yang perlu dijaga dan dipertahankan dari sebarang unsur yang boleh membawa kepada kemusnahannya. Ulama Usulul Fiqh menjelaskan ada tiga pembahagian maslahah iaitu dhoruriyyat, hajiyyaat dan tahsiniyyat.

Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Al-Wajir Fi Usulul Fiqh menjelaskan dhoruriyyat ialah perkara sangat diperlukan manusia bagi menjamin kehidupan sempurna. Dhoruriyyat juga bagi memastikan kehidupan manusia tidak terjejas. Lima perkara yang sangat diperlukan itu adalah agama, jiwa, keturunan, akal, dan harta. Kelima-lima perkara ini perlu dititik beratkan dan dilindungi.

Manusia memerlukan agama yang benar untuk memastikan aktiviti harian mereka dipandu oleh prinsip dibawa agama itu kerana manusia tidak akan mampu mencapai kebahagiaan hidup tanpa panduan agama. Lantaran kepentingan agama, Allah mengizinkan sahabat pada zaman Rasul SAW berperang bagi melindungi agama Islam dari dimusnahkan oleh musuh Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Telah diizinkan (berperang) bagi orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa menolong mereka.” (Surah Al-Hajj, ayat 39)
Islam menitikberatkan aspek menjaga jiwa dan Allah menegah sama sekali manusia daripada melakukan perbuatan membunuh bertujuan memberi jaminan kepada perlindungan jiwa mereka.

Begitu juga penjagaan keturunan daripada sebarang unsur yang boleh merosakkannya. Daripada keturunan, terbinanya kesinambungan zuriat manusia di dunia. Penekanan Islam ini dapat dilihat daripada pengharaman zina. Islam tidak hanya melarang perbuatan boleh membawa kepada zina, bahkan turut menyediakan hukuman kepada mereka yang melakukan zina. Larangan mendekati zina dengan ketetapan hukuman membuktikan Islam mementingkan perlindungan keturunan.

Hukuman yang ditetapkan bukan bertujuan mendenda mereka yang melakukan perbuatan itu, tetapi di sebalik pelaksanaan hukuman tersembunyi hikmah untuk melindungi keturunan manusia. Akal penting kerana dengan pertimbangan akal yang waras memastikan tindakan dilakukan tepat. Ketepatan dalam membuat keputusan penting bagi manusia kerana ia mempengaruhi aktiviti harian dan memberi kesan langsung kepada keharmonian hidup.

Perkara terakhir perlu dilindungi manusia ialah harta. Untuk mendapatkan harta, manusia memerlukan usaha, tenaga dan masa. Harta membantu manusia memenuhi keperluan untuk hidup seperti makan, minum, berkeluarga dan sebagainya. Sesungguhnya, Islam tidak sama sekali datang untuk memberi beban kepada manusia. Islam selaku agama milik Pencipta manusia pastinya sudah mengetahui kelebihan dan kelemahan yang ada pada manusia.

Allah sama sekali tidak membebankan makhluk dengan hukuman yang ditetapkannya. Semua bentuk larangan Allah mengandungi kemudaratan kepada manusia dan semua perkara yang dihalalkan Allah mengandungi hikmah kebaikan kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban serta belenggu (kesusahan) yang ada pada mereka” (Surah al-Araf, ayat 157) ( sumber : Berita Harian, 29 April 2011, Kuala Lumpur )

On | 0 Comment

On | 0 Comment

AGAMA Islam menggalakkan umatnya mengeratkan silaturahim sesama manusia agar kehidupan ini penuh dengan kasih sayang, perpaduan dan harmoni. Kita juga digalakkan untuk menyenangkan hati sesama saudara kita. Salah satu cara untuk menyenangkan hati itu ialah dengan bergurau senda. Adapun gurau senda itu suatu yang diharuskan dalam Islam kerana naluri dan fitrah manusia memerlukan hiburan untuk memperoleh ketenangan dan kesejahteraan. Bahkan boleh membebaskan diri daripada keresahan dan ketegangan.

Nabi Muhammad menjalankan kehidupan bersama para sahabat dan ahli kerabat baginda seperti manusia biasa. Baginda berkongsi kesedihan, kesusahan dan musibah dan baginda juga pernah bergurau senda. Antara senda gurauan Rasulullah ialah sebagaimana yang diceritakan oleh Al-Hasan: "Seorang perempuan tua telah datang kepada Nabi Muhammad, lalu berkata 'wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah SWT supaya aku dapat masuk syurga." Maka Rasulullah bersabda: "Wahai ibu polan! Sesungguhnya orang tua tidak boleh masuk syurga." Lalu menangislah si perempuan tua itu. Dengan segera Rasulullah bersabda: "Khabarkan kepada perempuan itu bahawa sesungguhnya dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan dia tua." 

Lalu dibacakan firman Allah yang tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa serta Kami jadikan mereka sentiasa dara, yang tetap menjadi jodohnya serta yang sebaya umurnya. Dalam senda gurauan Rasulullah yang lain lagi ialah sebagaimana dalam sebuah hadis yang maksudnya: "Daripada Anas bin Malik, bahawa seorang lelaki meminta kenderaan Rasulullah lalu baginda bersabda: Sesungguhnya aku akan membawamu di atas anak unta betina. Lalu orang itu berkata: Apa yang dapat saya buat di atas anak unta betina? Baginda menjawab: Bukankah yang melahirkan Al-Ibbal (unta jantan tua) itu hanya unta betina iaitu ibunya dan unta jantan tua itu ialah anaknya". (riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Daripada kisah-kisah tersebut dapat kita lihat bagaimana Rasulullah bergurau tetapi dalam perkara yang benar, bukan perkara yang dusta. Bahkan ia adalah disunatkan untuk menyenangkan hati orang lain. Walau bagaimanapun Islam melarang kita daripada bergurau terhadap perkara yang sia-sia kerana gurauan itu membuat orang ketawa berlebihan dan boleh menyebabkan keras hati serta melalaikan daripada mengingati Allah. Nabi Muhammad berpesan dalam sebuah hadis maksudnya: "Daripada Abi Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati". (riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Berkata Imam Al-Nawawi: "Gurauan yang ditegah itu ialah gurauan yang melampaui batas dan sering dilakukan sehingga melalaikan daripada mengingati Allah." Sesungguhnya jika gurauan kita itu bermaksud untuk menyenangkan hati orang lain terutama mereka yang dalam kesusahan, maka Allah SWT akan memberi ganjaran kepada mereka. Bagaimanapun, jika gurauan itu boleh membawa kemudaratan, kesusahan atau mengakibatkan perkara buruk kepada orang lain, kita akan mendapat dosa. Oleh yang demikian, berwaspadalah dengan senda gurauan yang melampaui batas atau berlebihan. Janganlah dalam gurauan itu ada unsur-unsur menghina, mencerca, mengolok-olokkan dan menyakiti orang lain kerana ia boleh mencetuskan permusuhan dan kemarahan sehingga menyebabkan terputus silaturrahim.

Jangan juga dijadikan senda gurauan itu suatu kebiasaan atau amalan kerana kesan yang tidak baik daripada gurauan itu mungkin akan terjadi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak daripada lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula sesuatu puak daripada daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah panggilan buruk sesudah dia beriman dan ingatlah sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang-orang yang zalim. (al-Hujurat: 11) ( sumber : Utusan Malaysia, 28 April 2011, Kuala lumpur )

On | 0 Comment

Aduhai wanita... sungguh mahal dirimu di mata lelaki, tetapi mengapa masih ada lagi yang tidak menyedari? Dirimu sungguh agung di mata lelaki dan terlalu mulia di sisi Penciptamu. Namun itu semua hanya jika kau tahu mengagungkan dan memuliakan dirimu sendiri. Menjadi wanita adalah satu anugerah yang paling indah. Seharum mana pun wangian kasturi tidak mampu menandingi wangian budi pekertimu, lembutnya gumpalan kapas masih tewas dek kelembutan tingkahmu. Halusnya butiran pasir yang menjadi peneman setia si pantai masih tidak dapat menandingi halusnya tuturmu.

Duhai wanita... Sebenarnya maruah diri yang kau galas lebih berat daripada bongkah-bongkah batu yang besar. Kau menepis dengan penuh sabar setiap godaan nafsu dunia yang datang bertubi-tubi hingga hampir mengheretmu ke kancah yang penuh onak duri. Percayalah wanita, akan ada bahagia di akhir kesengsaraanmu asal saja kesabaran menjadi bentengmu. Wanita ku... Terima sahaja cemuhan dan makian yang muncul bederu -deru ibarat halilintar yang singgah di cupingmu, terima saja itu dengan senyuman dan ambil saja sebagai halwa telinga yang mengajarkan mu erti kesabaran. Itu sebenarnya dendangan sumbang dari bibir-bibir sumbing yang ingin melihat mu tersungkur. Percayalah akan ada berita manis yang singgah dicupingmu suatu masa nanti asal saja gunung kesabaranmu tidak pernah kau tarah.

Saudara wanitaku, iman mu adalah perisai, agamamu adalah landasanmu di setiap langkah yang kau atur. Jangan sesekali kau biarkan anasir songsang memperkotak-katikkan imanmu apatah lagi agama yang kau kandung hanya kerana nikmat duniawi semata-mata. Jangan kau gadaikan maruahmu yang tidak ada galang gantinya hanya kerana mengejar sesuatu yang tidak mungkin bisa kau kendong. Andai kata kau tersungkur, segeralah bangkit dan sekiranya kau tersasar jauh dari landasan hidupmu, atur kembali langkahmu bersama titipan iman dan mulakan dengan langkah yang baru. Sedangkan Sang Jentayu yang kepatahan sayapnya masih bisa hidup bertongkat paruh apatah lagi kau yang dianugerahkan akal fikiran. Jangan bersedih wahai wanita, andai apa yang kau ingini tidak kau beroleh di dunia, percayalah syurga itu sentiasa menantimu.

Bulatnya iman dan taqwa Sumaiyah ketika dihunuskan tombak ditubuhnya, demikian jugalah bulat imanmu harus kepada Penciptamu. Peganglah kata kata ini, "Kau sebenarnya tidak akan tersasar seandainya keimananmu kau jadikan sebagai tunjang dalam kehidupan".  Wanita, biar tawadukmu lebih menggungung daripada kejelitaanmu, biar keayuanmu terpancar dek kerana lemah gemalainya perilaku. Biar kebijaksanaanmu terpampang oleh tingginya ilmumu. Jangan sesaat pun kau lupa setianya Masyitah pada Tuhannya, agungnya kasih Khadijah kepada agamanya dan perjuangan srikandi-srikandi agama terdahulu.

Jadikan agamamu sebagai tunjang yang memperkasakan akidahmu.Biar kesabaranmu menjadi benteng perjuanganmu dan lebarkan imanmu dengan sejuta lapis sifat mahmudah. Jadilah kita wanita paling bahagia. ( sumber : Salma Ahsanan, 24 Apr 2011, I Luv Islam )

On | 0 Comment

Pegangan agama kukuh mampu banteras jenayah pembuangan bayi dalam masyarakat. Terasa sebak di hati ketika menatap gambar bayi yang dibuang di pusat pembuangan sampah, dibakar, ada yang dimakan haiwan dan seribu satu gambaran memilukan. Di manakah hilang nilai kemanusiaan? Munculnya pelbagai saranan untuk menyelesaikan masalah ini. Malangnya kebanyakan saranan bukan menjurus kepada masalah pokok. Kempen membanteras jenayah pembuangan bayi bukanlah suatu yang asing dalam agama.

Malah, ia sudah dikempen Baginda Nabi SAW sejak dulu lagi. Berbeza dengan pendekatan kita, Nabi SAW mengutamakan persoalan menutup jalan awal perzinaan. Oleh kerana itulah prinsip Nabi SAW, mencegah lebih baik daripada merawat.  Kita seolah-olah terkapai-kapai mencari teknik terkini, yang pada sangkaan kita teknik berkesan. Namun, kita terlupa atau sengaja melupakan teknik asas yang dicipta agama bagi menangani isu ini. 

Lazimnya, bayi yang dibuang lahir daripada hubungan seksual di luar nikah. Ada kalanya dibuang kerana perasaan malu dan ada kala kerana tidak mampu menyara kehidupan anak itu. Penghinaan sosial yang amat terkesan kepada pelaku zina membuatkan mereka takut berhadapan masyarakat. Masyarakat kita seolah-olah menutup terus pintu taubat dengan tidak menerima kepulangan semula pelaku zina ke pangkal jalan. Malah, berita mengandung anak luar nikah, ditangkap khalwat dan sebagainya adalah cerita sensasi masyarakat. 



Status kritikan sosial membuatkan wanita mengandung anak luar nikah membuang bayi mereka di merata tempat, sedangkan, keadaan ini berbeza dengan wanita mengandung anak luar nikah dalam kalangan bukan Islam. Bukanlah kita menggalakkan perzinaan. Namun, kita menentang penderaan mental dan maruah insan terlanjur menjuruskan mereka bertindak di luar jangkaan. Dalil al-Quran dan sunnah jelas melarang pembunuhan anak walaupun atas dasar takutnya kemiskinan. Firman Allah yang bermaksud: “Jangan kamu membunuh anakmu lantaran takut kelaparan, Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka mahupun kepadamu, sesungguhnya membunuh mereka satu dosa besar.” (Surah al-Isra’, ayat 31) 

Pembuangan bayi akibat zina dan Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan yang buruk.” (Surah al-Isra’, ayat 32) Allah menggunakan kalimah ‘jangan mendekati’ perzinaan sebagai larangan kita mendekatkan diri kepada zina. Hal yang membawa kepada zina jelas diterangkan dalam hadis berikut: “Ditetapkan atas anak Adam bahagiannya daripada zina, akan diperoleh hal itu, tidak dapat dihindarkan. Kedua, mata berzina dan zinanya dengan memandang (yang haram). Kedua telinga berzina dan zinanya dengan mendengar (yang haram). Lisan itu berzina dan zinanya berbicara (yang diharamkan). Tangan itu berzina dan zinanya dengan memegang. Kaki itu berzina dan zinanya dengan melangkah (kepada apa yang diharamkan). Sementara hati itu berkeinginan dan berangan-angan, sedangkan kemaluan yang membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (Hadis riwayat Muslim) 

Agama mendatangkan kaedah menutup pintu perzinaan antaranya menundukkan pandangan. Memelihara pandangan kepada bukan mahram, apatah lagi menonton video lucah dan gambar membuka aurat yang memberahikan. Ini kerana ia boleh menggalakkan manusia melakukan apa yang ditonton. Ibu bapa hendaklah memantau bahan bacaan, drama dan filem serta laman web yang dilayari anak mereka. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (ya Muhammad) kepada lelaki yang beriman; Hendaklah mereka menahan pandangan mata mereka dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangan mata mereka dan memelihara kemaluan mereka.” (Surah an-Nur, ayat 30-31) 

Menjaga tutur kata dan pendengaran termasuklah menjauhi berbicara dengan bukan mahram tanpa sebab munasabah, apatah lagi untuk bergurau senda hingga membuat lawak lucah. Istilah moden muda mudi iaitu ‘phone sex’ seolah-olah menjadi perkara biasa. Sangat dikesalkan bagaimana sebahagian ibu bapa tidak kisah apabila anak mereka bergayut telefon setiap hari dengan teman istimewa masing-masing. Alasannya anak sudah dewasa, sedangkan itu adalah antara mukadimah ke arah zina. Menjauhi bersentuhan dengan bukan mahram. Bersentuhan ini boleh berlaku ketika bertepuk tampar dalam gurauan, bersalaman, berpegangan tangan dan membonceng motosikal. Lebih parah lagi, apabila tanpa segan silu berpelukan di khalayak ramai. 

Abu Said Al-Anshari mendengar Rasulullah SAW bersabda kepada wanita ketika Baginda keluar dari masjid dan mendapati lelaki bercampur dengan mereka di jalan: “Berjalanlah kalian di belakang (jangan mendahului lelaki). Ini kerana sungguh tidak ada bagi kalian hak untuk lalu di tengah-tengah jalan, tetapi bagi kalian hanyalah tepi jalan.” (Sunan Abi Daud, Shaikh al-Albani menyatakan ia hadis hasan). ( sumber : Muhammad Asyraf, Berita Harian, 26 April 2011, Kuala Lumpur )

On | 0 Comment

Sengketa, krisis rumah tangga perlu segera dirungkai agar tidak melarat kepada perceraian . Hari ini, kegetiran rumah tangga bukan saja berlaku kepada pasangan baru berkahwin, tetapi juga yang hampir melewati setengah abad. Puncanya kerana tiada persefahaman, akibat masalah remeh atau tiada masalah langsung tetapi itu yang berlaku bila jodoh tidak berpanjangan. 

Ada mengadu suami jatuh cinta lagi dan tidak mampu membahagi kasih, lalu isteri terpaksa memberi laluan kepada cinta baru suami. Anak pula tiada pilihan melainkan reda dengan kehilangan ayah yang mereka dambakan kasih sayangnya sehingga dewasa. Penulis sering menerima e-mel daripada isteri mengadu mengenai masalah rumah tangga. Ironinya, hampir semua kesulitan dialami boleh diselesaikan tetapi titik penyelesaian bukan di pundak salah seorang pasangan tetapi kedua-dua suami isteri.

Malangnya, ramai mengambil mudah dan melepaskan kepada salah satu pihak saja berusaha menyelesaikan kemelut dihadapi. Akibatnya, banyak syurga cinta dibina bertahun lama runtuh begitu saja. Permulaan membina unit asas institusi kekeluargaan adalah perkahwinan. Antara objektif perkahwinan ialah menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita, memenuhi fitrah kehidupan manusia mengingini kasih sayang dan ketenangan terhasil dari sebuah ikatan yang suci.

Selain memanjangkan generasi sedia ada dengan pertambahan zuriat dan keturunan sebagai penyambung tugas khalifah Allah di muka bumi di samping mengelak pelbagai masalah sosial yang semakin meruncing. Asas sebuah perkahwinan ialah rasa cinta, kasih sayang, melaksanakan tanggungjawab, saling mempercayai, hormat menghormati, belas kasihan dan bertolak ansur.

Penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita daripada institusi perkahwinan tidak timbul dalam Islam kerana isteri mempunyai hak mendapat kebahagiaan. Jika hak itu dinafikan suami, maka isteri berhak menuntut perceraian.  Antara konflik dalam rumah tangga adalah tekanan ekonomi, masalah komunikasi, memberi ruang kepada kehadiran orang ketiga, penyakit atau kematian, kesunyian dan tidak menyandarkan hubungan suci itu kepada tiang agama. Konflik sebegini tidak seharusnya diakhiri dengan perceraian. Talak perkara paling dibenci Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah perceraian.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Langkah mengembalikan hubungan tegang seperti sedia kala adalah dengan memulakan kehidupan baru. Pasangan harus mengetahui penyebab kepada krisis berlanjutan. Jalan penyelesaian mesti dibincangkan bersama dan jangan melengahkan masa untuk memulakan sistem pembinaan semula perkahwinan yang bahagia. Islam menganjurkan setiap individu Muslim hidup bahagia dan jika masalah mengganggu keharmonian, elok diselesaikan seberapa upaya. Pelbagai cara boleh digunakan seperti mendapatkan nasihat orang yang lebih dihormati. Pasangan juga perlu berbincang dari hati ke hati dengan meluahkan apa terbuku bagi mengelak salah faham berlarutan. Tetapi ini boleh berlaku jika masih wujud perasaan hormat antara suami isteri, jika sebaliknya, tiada perdamaian ‘hati’ yang boleh diusahakan lagi.

Tiada perhatian daripada ibu bapa yang bermasalah mengakibatkan anak mencari kebahagiaan lain, jurang komunikasi menidakkan ajaran dan bimbingan dalam keluarga, akhirnya wujud anak menagih perhatian di jalanan. Asalnya dulu mereka melepak untuk menghabiskan masa terluang dan sangat menyeronokkan, tetapi hari ini mereka menjadi samseng jalanan untuk membina ‘jati diri’ menghadapi kemungkinan di kemudian hari.

Akhirnya rumah tangga yang bermasalah menjadi semakin punah kerana ibu bapa tidak tegar menghadapi kerenah anak. Akhir-akhir ini juga banyak kon flik perkahwinan yang membawa kepada krisis besar sehingga pasangan bertindak tinggal berasingan. Ia berlaku mungkin disebabkan pasangan tidak langsung cuba menyelesaikan masalah. Pasangan juga mungkin boleh meredakan kemarahan dengan berjauhan antara satu sama lain dalam tempoh tertentu tetapi tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan masalah lain timbul seperti nusyuz, pengabaian nafkah zahir dan batin.

Islam membenarkan pengasingan sementara jika ia adalah jalan terbaik untuk meredakan keadaan dan melindungi mana-mana pihak daripada kemudaratan lebih besar. Apabila seseorang lelaki bersumpah untuk menjauhkan diri daripada isterinya, al-Quran menjelaskan bahawa mereka perlu diberi tempoh untuk bertenang dan dapat berfikir semula secara waras. Firman Allah yang bermaksud: “Kepada orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, ayat 226). ( sumber :
Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Berita Harian, 21 April 2011, Kuala Lumpur )

On | 0 Comment

Allah telah memerintahkan kita untuk mengikuti Al-Qur'an dan ketika kita buat seperti Nabi Muhammad saw itu, maka kita sedang mengikuti Quran. Al-Quran dan Sunnah adalah hal yang sama. Quran adalah firman Allah dan Sunnah adalah amalan Nabi saw, yang merupakan tafsiran dari Quran.

Antara Pesanan Sheikh Abdul Qadir Jailani

Allah telah memberitakan kepadamu dengan dua jihad iaitu lahir dan batin. Jihad batin adalah memerangi hawa nafsu, naluri, syaitan, taubat dari kemaksiatan dan ketergelinciran, teguh atas taubat itu, dan meninggalkan syahwat yang diharamkan. Jihad zahir adalahmemerangi oran gkafir yang memusuhi Allah dan RasulNya saw, mematahkan pedang, tombak dan anak panah mereka, mereka membunuh dan dibunuh.

Jihad batin adalah lebih sukar daripada jihad lahir kerana jihad batin adalah sesuatu yang tetap dan berulang-ulang. Bagaimana jihad batinmu itu tidak lebih sukar dari pada jihad lahir kerana jihad batin itu adalah memotong kesenangan-kesenangan nafsu dari hal-hal yang diharamkan untuk meninggalkannya, kemudian mengikuti perintah-perintah syarak dan menjauhi larangan-Nya. Barangsiapa yang mengikuti perintah Allah adalah dua jihad itu maka ia akan mendapatkan balasan dunia dan akhirat. Luka ditubuh orang syahid seperti terpotong pada tangan salah seorang diantaramu tiada sakit di sisinya, dan mati pada orang yang berjuang melawan nafsunya dan bertaubat dari dosa-dosanya adalah seperti orang haus yang minum air dingin.

Kaum itu (orang salih) bercita-cita agar mereka tidak kosong dari bebanan-bebanan Allah. Mereka telah mengetahui bahawa di dalam sabar terhadap bebanan-benananNya, qadha dan qadarNya terdapat kebaikan yang banyak baik dunia maupun akhirat. Mereka menyetujui Allah dalam tindakan-tindakanNya, sekali waktu dalam bersabar dan sekali waktu dalam bersyukur. Sekali waktu dalam kedekatan dan sekali waktu dalam kejauhan. Sekali waktu dalam kelelahan dan sekali waktu dalam keenakan. Sekali waktu dalam kaya dan sekali waktu dalam kiskin. Sekali waktu pada waktu sihat dan sekali waktu pada waktu sakit.

Seluruh cita-cita mereka adalah memelihara hati mereka bersama Allah. Ini adalah cita-cita yang paling penting oleh mereka. Mereka mencita-citakan keselamatan mereka dan keselamatan makhluk bersama Khaliq. Mereka sentiasa memohon kepada Allah untuk kemaslahatan-kemaslahatan makhluk. Seluruh keselamatan itu adalah dalam taat kepada Allah iaitu mengikuti seluruh apa yang diperintahkanNya, menjauhi dari seluruh apa yang dilarang-Nya dan sabar atas seluruh apa yang diputuskan-Nya. Barangsiapa yang mohon perkenan kepada Allah maka Dia memperkenankannya. Barangsiapa yang mentaatiNya maka seluruh makhluk taat kepadanya.

Wajib atasmu memenuhi syarat-syarat Islam. Wajib atasmu memenuhi hakikat Islam, iaitu menyerahkan diri di hadapan Allah. Lapangkanlah makhluk pada hari ini sehingga Allah akan melapangkan kamu esok dengan rahmat-Nya. Berilah makan dengan yang mubah, bukan yang haram. Duduklah pada pintu syarak dan tetaplah berkhidmat kepadaNya. Dan kamu telah beruntung, tidakkah kamu mendengar firman Allah yang bermaksud:- "Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia, dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah."(Al Hasyr:7)

Terimalah yang sedikit yang mantapkan jiwamu atasnya. Jika datang yang banyak dari apa yang telah ditakdirkan maka kamu ada padanya.Jika kamu puas yang sedikit maka jiwamu tidak rosak dan bahagian itu tidak lepas dari kamu. Hasan Al Basri ra mengatakan: "Orang mukmin itu cukup denagn apa yang mencukupi anak kambing, cukup dengan tamar dan minuman air. Orang mukmin itu makan untuk menjaga kekuatan sedangkan orang munafiq itu makan untuk bersenang-senang.

Dari Luqman Al Hakim bahawasanya ia berkata kepada anaknya: "Hai anakku sebagaimana kamu sakit dan tidak mengetahui bagaimana kamu sakit, maka demikian juga kamu mati dan kamu tidak mengetahui bagaimana kamu mati. Aku memperingatkan kamu dan mencegahmu namun kamu tidak mempedulikan peringatan dan tidak mahu dicegah." Wahai orang-orang yang ghaib dari kebaikan dan sibuk dengan keduniaan, sebentar lagi dunia akan tua padamu mencekikmu dan tidak berguna bagimu dunia yang kamu kumpulkan itu, dan juga tidak berguna kelazatan yang kamu rasakan itu, tetapi seluruhnya akan menjadi cubaan atasmu. ( sumber : Syauqi Osman, I Luv Islam, Editor: Zulhafidz Ahd, 24 Apr 2011 20:25, )

On | 0 Comment

FIRMAN Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh (istiqamah) di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berduka cita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu." (Surah Fussilat, ayat 30) 

Istiqamah membawa maksud tetap teguh dan terus mempertahankan pendirian yang asal, tidak berganjak dan tidak mundur ke belakang biar selangkah pun. Biar apa terjadi dan bakal dihadapi, pendirian asal tetap dipertahankan walaupun nyawa dan jasadnya akan menjadi bahan pertaruhan. Beristiqamah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan biarpun lidah tidak bertulang ini begitu petah melafazkannya kerana istiqamah menuntut pengorbanan tulus daripada seorang Muslim dan ada kala jasad, harta dan nyawa menjadi pertaruhan demi menjayakan cita-cita Islam.



Situasi seumpama inilah ditunjukkan generasi Rasulullah SAW iaitu sahabat yang tetap teguh dalam perjuangan menegakkan Islam ketika itu.  Contohnya, Bilal bin Rabah tetap beristiqamah dengan Islam yang baru dianutinya biarpun jasadnya dikelar, disiat dengan besi panas membara dan tidak cukup itu, beliau dijemur sambil batu besar diletakkan di atas tubuhnya di tengah padang pasir bawah terik panas matahari.  Namun semuanya itu tidak melunturkan pendirian dan menggoyahkan keimanannya yang kudus kepada Allah SWT, malah beliau melafazkan berulang kali perkataan Ahad bermaksud Allah Maha Esa sebagai manifestasi apa yang bertapak kukuh di dasar hatinya. 

Yang penting baginya, beliau yakin dengan janji Allah SWT bahawa orang beriman kepada-Nya akan berbahagia di akhirat kelak.  Begitu juga yang berlaku kepada keluarga Yasir, beliau dan isterinya Sumaiyah syahid kerana mempertahankan Islam. Tragedi pilu dan menyayat hati ini menempa tinta emas dalam sejarah Islam.  Selain beristiqamah mempertahankan kebenaran dan kepercayaan di jiwa, Muslim juga dituntut beristiqamah melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Beristiqamah mengerjakan amalan soleh amat afdal dan disukai Allah SWT. 

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Amalan yang paling disukai di sisi Allah ialah amalan yang dilakukan secara berterusan (istiqamah) biarpun sedikit.” (Hadis riwayat Bukhari)  Setiap Muslim dianjur sentiasa menggilap hatinya supaya sinaran iman bergemerlapan dengan memperkukuhkan keyakinan kepada Allah SWT. Dengan itu, istiqamah akan terpantul secara langsung iaitu cerminan yang lahir daripada lubuk hati dengan keimanan tulus kepada Allah SWT. 

Orang yang beristiqamah dalam hidupnya dijanjikan anugerah Allah SWT iaitu turunnya malaikat menyampaikan khabar gembira nikmat lebih besar dan istimewa menanti di akhirat dan kemuncak kejayaan insan yang bertakwa iaitu syurga penuh kenikmatan. Justeru, setiap Muslim perlu menginsafi kehidupan penuh pancaroba ini menuntut sedikit sebanyak persediaan untuk menghadapinya. Persediaan itu tidak lain tidak bukan ialah iman dan istiqamah.(  sumber : Berita Harian, 20 April 2011, Kuala Lumpur )

On | 0 Comment

SYAFAAT iaitu perbuatan memohon bantuan dan pertolongan yang menjadi isu di sisi sesetengah orang jika dilakukan kepada selain daripada Allah SWT bukan isu yang sengaja diada-adakan. Perkara ini pernah ditimbulkan oleh seorang pelajar dari negara Arab dalam satu majlis yang dianjurkan. Pelajar terbabit dengan tegas telah menegur apabila terdengar ada kata-kata berunsur memohon syafaat Nabi SAW.

Mari kita melihat bagaimana sikap para sahabat dalam hal ini. Terdapat hadis yang menegaskan bahawa beberapa orang sahabat telah meminta syafaat daripada Nabi Muhammad. Baginda tidak pernah mengatakan: "Bahawa meminta syafaat daripadaku adalah syirik. Maka pohonlah terus daripada Allah dan jangan sesekali kamu menyekutukan Tuhan kamu dengan sesuatu." Sebagai contoh, Anas ibnu Malik r.a pernah berkata: "Wahai Nabi Allah! Syafaatkanlah aku pada hari Kiamat." Maka Rasulullah bersabda: "Aku akan melakukannya." (riwayat al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Qiayamah).

Sawaad ibnu Qaarib juga pernah berkata di hadapan nabi SAW: "Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan sesungguhnya engkau dipercayai atas segala yang ghaib; Sesungguhnya engkau adalah Rasul yang mempunyai wasilah paling hampir kepada Allah, wahai anak keturunan orang-orang yang mulia dan baik!" Hingga dia juga mengatakan: "Maka jadilah engkau pemberi syafaat bagiku, pada hari tidak ada yang mempunyai (hak) syafaat, selain engkau yang boleh menyelamatkan Sawad ibn Qarib." (riwayat al-Baihaqi dalam Dalaail, Ibnu 'Abd al-Barr, dan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari).

Rasulullah memperakuinya dan tidak mengingkari perbuatannya memohon syafaat daripadanya. Sahabat lain yang pernah memohon syafaat daripada baginda ialah Mazin ibnu al Ghadhubah setelah dia memeluk Islam. Dia bernasyid: "Kepadamu, wahai Rasulullah! Bergerak kenderaanku merentasi padang pasir dari 'Uman ke 'Araj. Agar engkau dapat mensyafaatkanku, wahai sebaik-baik manusia yang memijak batu-batu kecil. Maka aku diampunkan oleh Tuhanku, lalu aku pun pulang dengan membawa kejayaan." (riwayat Abu Nu'aim dalam Dalaail al-Nubuwwah, ms: 77)

'Ukkasyah ibnu Mihsan juga termasuk sahabat yang pernah memohon syafaat daripada Nabi Muhammad. Ketika baginda menyebut bahawa 70,000 orang akan masuk syurga tanpa hisab. 'Ukkasyah berkata:  "Berdoalah kepada Allah supaya aku termasuk di kalangan mereka itu." Rasulullah SAW terus bersabda: "Engkau termasuk di kalangan mereka." Kita sedia maklum, bahawa tiada seorang pun yang menerima nikmat syurga, kecuali setelah diberi syafaat atau ditolong oleh Rasulullahmelalui Syafaat Kubra (terbesar), bagi orang yang sedang berada di Padang Mahsyar sebagaimana telah dijelaskan jelas dalam beberapa hadis mutawatir. Perkara ini dikategorikan sebagai memohon syafaat.( sumber : PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN, 19 April 2011, Utusan Malaysia, Kuala Lumpur )

On | 0 Comment

MANUSIA diciptakan berlainan jantina dan berpasangan dengan tujuan dan maksud tersendiri, iaitu untuk saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Selain itu penciptaan manusia daripada kalangan lelaki dan wanita pula bertujuan untuk mengembangkan keturunan manusia agar terus berkekalan hingga ke hari kiamat. Sehubungan tindakan nekad segelintir lelaki yang merubah jantina ataupun berperawakan seperti wanita adalah perbuatan yang melanggar ketentuan agama dan tidak bersesuaian dengan nilai budaya masyarakat setempat.


Apatah lagi jika ia membabitkan proses pembedahan dan penukaran alat kelamin yang berkemungkinan memudaratkan. Menurut al-Syeikh Walid bin Rashid al-Su’aidan, pembedahan menukar jantina membabitkan perubahan ciptaan Allah, mensiasiakan kejadiannya, mengikut hawa nafsu dan memenuhi tuntutan syaitan. Malah doktor yang melakukan pembedahan seumpama ini dikira berdosa. 

Golongan yang melakukan perbuatan keji ini dipengaruhi syaitan sehingga terdorong mengikut nafsu. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa ayat 119 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata.” 

Malah perbuatan mereka juga mendedahkan diri kepada risiko kerosakan anggota badan sehingga boleh lumpuh dan menyebabkan kehilangan nyawa. Sudah semestinya amalan buruk ini dilarang agama kerana manusia ditegah mendedahkan diri kepada jurang kebinasaan yang merosakkan. Selain itu terdapat banyak hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang menegah manusia daripada mengubah ciptaan Tuhan. Misalnya sebuah hadis riwayat Abdullah ibn Masud yang bermaksud: “Aku mendengar Rasulullah SAW melaknat wanita yang mencabut bulu keningnya dan yang mengikir giginya untuk kelihatan cantik, yang mengubah ciptaan Allah SWT.” Persoalanya, bagaimana pula perbuatan seseorang yang memakan ubat dengan tujuan untuk menukar suara daripada garau menjadi lembut, memakan hormon untuk membentuk fizikal seperti wanita dan lain-lain yang lebih berat daripada sekadar mencukur bulu kening. 

Menurut Ibnu Abbas, Rasulullah SAW juga direkodkan pernah melaknat lelaki yang menyamai kaum wanita dan wanita yang menyamai kaum lelaki. (Riwayat Imam al-Bukhari) Perbuatan ini jika tidak dibanteras akan menimbulkan kecelaruan hukum syarak. Walaupun seseorang telah menukar kemaluannya, status jantina asal masih kekal walaupun secara fizikal telah berubah. Ia juga memporak-perandakan sistem hidup bermasyarakat sedia ada. Golongan yang berangan-angan untuk menukar jantina dinasihatkan berfikir sebelum melakukan tindakan yang akan menyebabkan mereka merana seumur hidup. Justeru, akur dengan ketetapan Ilahi adalah jalan bahagia menuju kejayaan. Manusia dikurniakan akal untuk berfikir bagi membuat pertimbangan sebelum melakukan sesuatu perkara. ( sumber :  Mohd Ali Muhamad Don, Utusan Malaysia, 18 April 2011, Kuala Lumpur )

On | 0 Comment

KEHIDUPAN manusia di dunia sentiasa diwarnai aneka versi hati. Tidak kurang yang membiarkan hati diserang virus penyakit sehingga menggelapkan sekali gus menjerumuskan diri dalam dominasi sifat mazmumah.  Islam menegah umatnya bersifat iri hati, berdengki, suka khianat, bercakap bohong dan berdendam. Semua sifat keji itu tidak harus menyelubungi lubuk hati. Jadi, bagaimana kita dapat merawat hati sedemikian?


Banyak kaedah digariskan Islam dalam menangani hati berpenyakit, antara yang terbaik dan sepatutnya kita selalu amalkan ialah mengingati mati. Inilah terapi agung yang boleh memulihara hati daripada gelap dan kotor kepada hati suci bersih. mengingati mati bermakna kita ingat akan untung nasib di akhirat. Menyentuh hal ini, Imam As-Syafie ada berpesan: “Perbanyakkanlah menyebut dan mengingati hal kematian daripada hal keduniaan, perbanyakkanlah menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.” Khalifah Umar Abdul Aziz ada berpesan yang baik untuk kita jadikan panduan dalam melalui kehidupan dunia dengan banyak mengingati hari mati. 

Katanya: “Dunia bukanlah kediaman abadi kalian. Allah telah menetapkan dunia sebagai alam yang fana, Allah juga telah menetapkan kesukaran kepada penghuni dunia selama hidup di dunia. Berapa banyakkah bangunan yang baru dibina sudah hancur? Berapa banyakkah orang yang hidup mewah dan kemudian hidup melarat? Kaum muslimin yang dimuliakan Allah, persiapkanlah bekalan kalian untuk mengharungi perjalanan untuk menuju akhirat. Bekalan yang terbaik adalah ketakwaan. Dunia hanyalah persinggahan sementara bagi manusia. Seseorang mukmin itu seharusnya memiliki salah satu daripada dua keadaan, iaitu pertama, bersikap seperti orang asing yang tinggal di negeri asing dan impiannya adalah untuk pulang ke negeri asalnya. Kedua, bersikap seperti seorang musafir yang tiada tempat tinggal tetap, siang dan malam baginya adalah perjalanan menuju ke kampung halaman.” 

Panjang dan padat khutbah Umar Abdul Aziz itu, tetapi tersurat dan tersirat makna yang boleh menjernihkan mata hati kita menyusuri alam kehidupan di dunia ini. Begitu juga pesanan tokoh ulama silam, Abdullah bin Dawud yang mengatakan: “Apabila ada di antara kaum Salaf sudah menjangkau umur 40 tahun, ia mulai ‘melipat tilam’ iaitu tidak akan tidur sepanjang malam. Mereka selalu menunaikan solat, bertasbih dan beristighfar serta mengejar segala perkara yang tertinggal pada umur sebelumnya dengan amalan kebaikan pada hari sesudahnya.”  Inilah contoh golongan mukmin yang sentiasa mengingati hari kematiannya dan selalu takut berakhirnya hayat di badan dengan kekurangan amal ibadah serta amalan kebajikan. 

Mukmin yang hatinya sentiasa mengingati kematian sudah tentu akan mengisi agenda kehidupan dengan bermuhasabah diri untuk meninjau segala dosa serta kecacatan pernah dilakukan. Hati mereka tentu sekali akan dipaut untuk melakukan transformasi ke arah sifat mahmudah dan sentiasa menyukai kebaikan. Abu Hazim Salamah bin Dinar ada berpesan: “Kekayaan menuju akhirat amat sedikit. Oleh itu, perbanyakkanlah kekayaan itu apabila ia semakin berkurangan dan terhakis kerana suatu hari nanti kita tidak lagi memiliki kekayaan itu walaupun hanya sedikit, apatah lagi banyak.”  Setiap hari berlalu bermakna hari kematian semakin menghampiri. Jika kehidupan kita masih tidak berubah ke arah kebaikan bermakna kita mempunyai petanda lupakan kematian dan lupakan alam akhirat. 

Dalam hal ini, ada baiknya kita hayati mutiara kata Yahya bin Muadz: “Sesungguhnya aku hairan melihat orang yang bersedih kerana hartanya berkurangan, tetapi tidak bersedih apabila umurnya berkurangan.”  Dalam satu khutbah, Umar Abdul Aziz dalam keadaan sebak dan menangis ada mengatakan kepada rakyatnya: “Wahai kaum muslimin. Sesungguhnya kalian diciptakan untuk suatu urusan. Jika kalian mempercayainya bererti kalian bebal. Jika kalian mendustakannya bererti kalian binasa. Kalian diciptakan untuk suatu keabadian, namun berpindah daripada suatu alam ke alam lain. Wahai hamba Allah. 

Kalian kini berada di alam yang mana makanan kalian boleh menyebabkan kalian tersedak dan minuman kalian boleh menyebabkan kalian kembung. Tidak ada nikmat murni yang menggembirakan hati, kecuali ketika kenikmatan itu pergi akan menyebabkan hati tidak tenang. Maka beramallah sesuai dengan tuntutan takdir untuk menuju ke alam keabadian.” Demikian peringatan dan pesanan tokoh ilmuwan Islam dulu berkenaan pentingnya menjalani kehidupan di dunia dengan membawa bekal untuk akhirat. Sekali gus memberi makna bahawa kita seharusnya sentiasa ingat kepada saat kematian. ( sumber :  Mohd Rizal Azman Rifin, 15 April 2011, Berita harian, Kuala Lumpur )

On | 0 Comment

Usik-mengusik sesama rakan jangan sampai guris perasaan  KEHIDUPAN zaman ini memaksa manusia mengejar masa serta menyelinap segenap ruang yang ada bagi memenuhi tuntutan rohani dan material menyebabkan kurangnya waktu diperuntukkan untuk bersantai menjalin hubungan silaturahim sesama sendiri. 

Usahkan dengan jiran tetangga, malah ahli keluarga sendiri pun ada kalanya payah untuk bergurau senda. Ada kala lucu pula apabila mengingatkan betapa pergerakan manusia hari ini terbatas oleh tuntutan tanggungjawab melampaui masa yang ada. Justeru, ramai yang memaksimumkan manfaat hubungan maya untuk melanjutkan komunikasi dan bertanya khabar. Malah, ada ibu bapa yang hanya sempat bertegur sapa dengan anak di laman sosial saja.

Penulis tidak bermaksud melanjutkan bicara mengenai komunikasi era ini, tetapi naluri manusia memerlukan gurau senda untuk mengeratkan hubungan baik dan merapatkan silaturahim. Bukan saja mengelakkan kesunyian, gurau senda juga memudahkan komunikasi, membuatkan bicara tidak formal. Walaupun gurau senda membantu menguatkan kasih sayang, ia juga boleh meranapkan silaturahim jika gurau senda menyebabkan ada pihak berkecil hati. Ada antara kita bergurau tanpa menyedari ada hati terluka.

Sebab itu banyak contoh ditonjolkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat mengenai gurau senda yang membuatkan orang ketawa dan berkisar kepada perkara yang benar. Rasulullah SAW tidak mencipta kisah lucu yang sia-sia semata-mata untuk membuatkan orang ketawa kerana Baginda takut ketawa menyebabkan umat Islam lalai daripada mengingati Allah. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Dari Abi Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati.” (Hadis riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)

Jangan berlebihan dalam bergurau senda sehingga menyebabkan ada orang terasa dirinya diaibkan atau dijadikan misalan sehingga memalukan dirinya. Sebaliknya, gurau senda dijadikan salah satu cara menghiburkan hati yang lara atau menyenangkan orang berduka. Tetapi perlu diingat, gurau senda itu mestilah berkenaan perkara yang benar. Gurauan boleh menyebabkan seseorang mendapat pahala atau dosa.

Contohnya, jika gurauan boleh menyenangkan hati, mengeratkan silaturahim dan perpaduan serta kasih sayang, maka gurauan itu menjadi perbuatan baik yang diganjarkan dengan pahala dari Allah SWT. Sebaliknya jika gurauan menjadi alasan untuk menyakitkan hati seseorang, ia sudah tentu menjadi perbuatan yang dikutuk Allah SWT. Jangan pula tabiat bergurau senda untuk menyakitkan hati orang lain menjadi kebiasaan menyebabkan seseorang itu tiada rasa bersalah mengutuk atau menghina.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Janganlah sesuatu puak daripada lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain kerana harus puak dicemuh itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan perempuan lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan buruk sesudah dia beriman dan ingatlah sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang yang zalim.” (Surah Al-Hujuraat, ayat 11)

Contoh paling baik ialah gurauan Rasulullah SAW kerana Baginda masih mengekalkan had dan batasan antara lelaki dan wanita serta menyelitkan unsur nasihat bertujuan mengingatkan manusia kepada Allah. Sudah tentulah gurau senda tetap tidak mengizinkan perlakuan tidak manis antara lelaki dan wanita, seperti menyebut perkataan memalukan mana-mana pihak, menghina atau meniru suara atau kata-kata orang lain dengan niat merendah-rendahkan atas faktor perbezaan jantina.

Antara senda gurauan Rasulullah SAW seperti diceritakan al-Hasan, seorang perempuan tua datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah SWT supaya aku dapat masuk syurga. Maka Rasulullah SAW bersabda: Wahai ibu pulan! Sesungguhnya orang tua tidak boleh masuk syurga. Lalu menangislah si perempuan tua itu. Dengan segera Rasulullah SAW bersabda: Khabarkan kepada perempuan itu sesungguhnya dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan dia tua.” Lalu dibacakan firman Allah SWT yang maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri mereka dengan ciptaan istimewa serta Kami jadikan mereka sentiasa dara, yang tetap menjadi jodohnya serta sebaya umurnya.”( sumber : Nik Salida Suhaila Nik Saleh, 14 April 2011, Berita Harian, Kuala Lumpur )

On | 0 Comment

Sejurus mendapat tahu bahawa 3,000 tentera kafir Quraisy Mekah sedang bergerak menuju ke utara untuk menyerang Madinah, Rasulullah SAW segera mengadakan perbincangan dengan para sahabat dan pengikut baginda bagi mengatur strategi perang kali ini. Persoalan penting ialah sama ada tentera Islam perlu keluar dari Kota Madinah untuk bertempur dengan pihak musuh atau terus bertahan sahaja dalam kota tanpa perlu ke mana-mana.

Rasulullah sendiri berpendapat supaya mereka tidak perlu keluar ke mana-mana. Malah seluruh penduduk Madinah boleh turut sama mempertahankan Madinah dari dikuasai pihak musuh. "Jika mereka masuk sahaja ke dalam kota, maka seluruh penduduk akan memerangi mereka di segenap lorong-lorong yang sempit dengan kedudukan kaum wanita akan menentang daripada atas bumbung-bumbung rumah mereka," kata baginda. Ini merupakan pendapat baginda secara peribadi bukannya yang diwahyukan kepadanya, yang tidak semestinya diterima oleh para pengikut baginda.

Namun cadangan baginda itu diterima atau dipersetujui oleh ketua orang munafik Madinah, iaitu Abdullah bin Ubay bin Salul yang turut hadir dalam mesyuarat itu. Dia bersetuju dengan cadangan itu semata-mata supaya muslihatnya terlaksana iaitu supaya saat tentera kafir Quraisy masuk ke dalam kota, saat itu jugalah Abdullah akan mempamerkan 'dirinya' yang sebenar. Tidak sahaja dia akan belot malah akan membantu tentera musuh mengalahkan pihak Islam. Muslihat jahat seperti itu dicium oleh para sahabat dan meminta kepada Rasulullah supaya perang kali ini juga dilakukan di luar kota Madinah seperti Perang Badar.

Sekumpulan para sahabat yang tidak menyertai Perang Badar mengusulkan supaya tentera Islam keluar dari Madinah dan baginda didesak supaya berbuat demikian. "Wahai Rasulullah, kami selalu memohon kepada Allah SWT dan mengharapkan agar datangnya hari peperangan seperti ini. "Sekarang Allah telah mendatangkan perang ini kepada kita semua. Maka sewajarnya kita keluar menuju kepada musuh kita sehingga mereka tidak melihat kita sebagai golongan yang penakut," kata mereka.

Antara yang sangat bersemangat untuk berperang di luar kota Madinah itu adalah bapa saudara baginda sendiri, Hamzah bin Abdul Mutalib, yang sebelum ini begitu banyak sumbangannya melalui pedangnya yang mengamuk semasa Perang Badar.  "Demi Yang menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepadamu wahai Muhammad, aku tidak akan menjamah makanan melainkan setelah aku melibas kepala pihak musuh dengan pedangku ini di luar Madinah," kata Hamzah.

Apabila melihat ramai yang bersetuju supaya tentera Islam melawan pihak musuh di luar Kota Madinah, akhirnya Rasulullah mengalah. Baginda memutuskan untuk mereka bergerak dan akhirnya akan bertempur dengan pihak musuh di mana sahaja, asalkan tidak di dalam Kota Madinah.  Setelah itu baginda pun bangun mengimamkan solat Jumaat. Dalam khutbah Jumaat itu baginda menyeru kepada umat Islam supaya bersiap sedia untuk menghadapi satu lagi peperangan dengan pihak kafir Quraisy Mekah. Kata baginda, kemenangan pasti akan berpihak kepada pihak Islam jika mereka bersabar walaupun sekali lagi jumlah tentera Quraisy adalah jauh lebih ramai berbanding tentera Islam. Namun ternyata dengan jumlah yang sedikit, pihak Islam mampu menang sebagaimana yang berlaku semasa Perang Badar. ( sumber : SITI AINIZA KAMSARI, 13 April 2011, Utusan Malaysia, Kuala Lumpur )

On | 0 Comment

SEGALA amalan yang kita lakukan termasuk solat, membaca al-Quran, berzakat, menolong orang susah dan belajar perlu diniatkan ikhlas semata-mata kerana Allah. Sekiranya niat kita bercampur dengan perasaan riak, mahu dipuji, kerana pangkat, mengharapkan habuan tertentu bermakna kita sudah tersasar daripada reda dalam mentaati Allah.  Kita berniaga tetapi sering lalai dalam menunaikan ibadat wajib seperti solat, mengeluarkan zakat jadi semua itu perkara sia-sia. Ia tidak tidak dikira ibadat kerana tidak memenuhi maksud sebenar beribadat kerana Allah. 

Perasaan riak juga boleh menjadikan amalan kita menjadi sia-sia. Malah, perkara itu seperti menipu diri sendiri, dan mengotorkan jiwa. Allah sangat murka pada mereka yang hidupnya menunjuk-nunjuk, mengampu dan mengambil kesempatan hakikatnya tidak dapat bertahan lama, lambat-laun tembelangnya pecah juga.

Rasulullah menyatakan, riak termasuk dalam kategori syirik seperti sabdanya yang bermaksud: “Yang paling aku takuti menimpa kamu ialah syirik yang paling kecil. Sahabat bertanya berkaitan dengannya, jawab Baginda, ia adalah riak.” 

Pengertian riak adalah beramal kerana manusia dan bukannya kerana Allah. Ada manusia yang diselubungi perasaan beramal kerana Allah, tetapi pada masa sama ada sedikit perasaan riak apabila ingin dilihat orang lain. 

Baginda bersabda maksudnya:  “Bahawa sesungguhnya setiap sesuatu perbuatan itu mestilah dengan niat dan tiap-tiap sesuatu perbuatan itu dinilai mengikut apa yang diniatkan.” 

Makna ikhlas merujuk kepada sesuatu perbuatan dan tanggungjawab dengan kesengajaan hanya kerana Allah, tidak bermuka-muka dan tidak mengharapkan pujian manusia.  Dalam budaya kerja, ikhlas adalah melakukan tugas kerana menunaikan tanggungjawab tanpa mengampu atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain.  Sering kali makna kerana Allah kabur dan tidak jelas. Niat kerana Allah juga bermakna bersama Allah. Justeru, ikhlas membawa makna kualiti kerana rasa diperhatikan Allah sebab Allah sentiasa bersama. 

Bagaimanakah perasaan seorang pekerja apabila kerjanya diperhatikan majikannya? Sudah tentu dia buat dengan sungguh-sungguh iaitu penuh dengan kualiti.  Orang Islam sepatutnya lebih cemerlang daripada bukan Muslim kerana mereka terikat dengan peraturan pejabat dan tuntutan budaya kerja cemerlang yang disarankan Islam. 

Berikut adalah petanda yang menjadi ukuran sebenar keikhlasan supaya dapat menjauhkan diri daripada bersifat riak antaranya: 

l Tidak mengejar publisiti, melakukan kerja bukan hendak dipuji tetapi menunaikan tugasnya dan bila dipuji tidak lupa diri. 
  • Tidak suka menyalahkan orang lain. Orang ikhlas kerap menyalahkan diri sendiri. 

  • Bekerja senyap jauh daripada sorotan, mereka berkorban tanpa mengungkit. Mereka laksana akar kepada pokok, tertanam di dalam tanah tanpa orang nampak. 

  • Tidak lokek untuk memuji orang yang patut dipuji. Mengucap tahniah kepada mereka yang wajar dihargai jasanya. Dalam konteks ini manusia selalu berhadapan dengan dua kelemahan. Pertama, memuji dan memuja orang yang tidak berhak. Kedua, tidak menghargai dan memuji orang yang patut dipuji. Rasulullah walaupun manusia yang paling sempurna tidak lokek memuji Abu Bakar, Uthman, Umar dan Ali. 

  • Bekerja tanpa mengira kedudukan, baik sebagai pemimpin atau sebagai pengikut seperti kisah Khalid al-Walid. 

  • Gembira dengan kemunculan tokoh baru dan bersedia memberi laluan kepada mereka membuktikan kebolehan dan kepakaran tanpa diganggu-gugat, dicemburui sebab orang tidak ikhlas biasanya gelisah dengan kemunculan tokoh baru. 

  • Sabar dan istiqamah sepanjang masa, tidak lemah semangat, tidak buat ala kadar sebab pendorongnya kerana Allah bukan kerana manusia. Jika buat kerana orang, bila dipuji rajin, bila dikeji malas. 

    Justeru, keikhlasan hati itu menjadi pedoman kepada seseorang dalam melakukan apa saja pekerjaan. Orang yang bekerja dengan penuh keikhlasan sudah pasti hatinya tidak mudah patah atau putus harapan sehingga mencapai apa yang dicita-citakan. ( sumber :
    Mohd.Zawawi Yusoh, Metro harian, 12 April 2011, Kuala Lumpur )

  • On | 1 Comments

    SURAH al-Zalzalah termasuk dalam kategori surah Madaniyyah. Inilah pendapat Ibn Abbas, Qatadah, Muqatil dan jumhur ulama. Sedangkan Ibn Mas’ud, Ata’ dan Jabir pula berpendapat ia termasuk dalam surah Makiyyah. Ia mengandungi lapan ayat dan diturunkan selepas surah al-Nisa’. 

    Hubungan surah ini dengan  surah   al-Bayyinah adalah: Dalam surah yang  lalu  diterangkan balasan yang diterima oleh orang yang beriman dan orang kafir. Dalam surah ini pula, Allah SWT menjelaskan waktu dan tanda-tanda berlaku hari kebangkitan. 

    Sebab nuzul
    Orang kafir sering bertanya tentang hari pengadilan. Mereka bertanya: Bilakah datangnya hari Kiamat itu? Manakala sesetengah yang lain bertanya: Bilakah datangnya janji itu? Dalam surah ini, Allah SWT menerangkan tanda-tanda akan berlakunya hari kiamat agar mereka mengetahui bahawa tiada jalan lain untuk menentukan hari itu iaitu hari yang didedahkan kepada manusia bahawa mereka semua akan kembali menghadap Allah SWT untuk mengurniakan balasan pahala kepada orang yang beriman serta seksaan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa. 

    Tafsiran ayat

    Firman Allah SWT: Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat). Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandungnya). Ibn al-Jauzi menyebut dua pendapat ulama berkenaan dengan waktu goncangan tersebut:

    i. Ia berlaku di dunia dan termasuk tanda kiamat. Inilah pendapat kebanyakan ulama.

    ii. Ia goncangan pada hari kiamat. Inilah pendapat Kharijah bin Zaid.

    Berkenaan dengan maksud telah mengeluarkan beban-beban berat:

    i. Orang-orang mati dibangkitkan seperti kata Ibn Abbas.

    ii. Segala bahan simpanannya daripada emas, perak dan lain-lain seperti pendapat Atiyyah.
    Sayid Qutub berkata: Itulah peristiwa hari Kiamat di mana seluruh bumi bergegar dengan gempa-gempa yang paling dahsyat dan meluahkan segala isi perutnya dari mayat-mayat, logam-logam dan sebagainya, seolah-olah bumi mahu meringankan tubuhnya daripada kandungan-kandungan yang berat itu. 

    Itulah satu pemandangan yang menunjukkan segala sesuatu yang tegak di bumi telah bergoyang di bawah tapak kaki para pendengar surah ini. Mereka merasa terhuyung-hayang, bumi terus bergegar dan bergoncang di bawah tapak kaki mereka, satu pemandangan yang menakutkan hati yang selama ini menyangkakan segala apa yang tegak di bumi itu akan tetap teguh, kukuh dan kekal abadi. Inilah kesan pertama kiamat yang digambarkan oleh al-Quran, satu gambaran yang benar-benar hidup dan menjalar ke dalam saraf-saraf pendengar ayat-ayat ini sebaik sahaja mendengar ungkapan al-Quran yang unik ini.

    Kesan ini bertambah apabila digambarkan reaksi manusia terhadap pemandangan itu dan dilukiskan keadaan-keadaan perasaan mereka ketika melihat pemandangan ini. Firman Allah SWT: Dan manusia bertanya: Mengapa bumi (menjadi begini)? Pada hari itu bumi menceritakan beritanya. Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang sedemikian itu) kepadanya.

    Al-Mawardi mengemukakan maksud bumi mengkhabarkannya kepada dua pendapat:

    i. Perkhabaran berkenaan segala amalan hamba yang dilakukan di dunia dahulu. Inilah pendapat Abu Hurairah.

    ii. Mengkhabarkan berkenaan perihal kiamat. Inilah pendapat Ibn Mas’ud
    Ketika berlakunya gempa bumi yang hebat ini, bumi menceritakan isinya kepadamu dalam bentuk kegoncangan, getaran yang hebat dan gerakan bumi yang dahsyat serta kehancuran seluruh isinya yang tiada tandingannya sebelum ini. 

    Justeru, ia akan memberi jawapan dan pengertian kepada orang yang bertanya bahawa kegoncangan yang sedang berlaku itu bukan kerana sebab-sebab yang biasa berlaku ketika seluruh alam berada dalam keadaan normal.( sumber : DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI, Utusan Malaysia, 11 April 2011, Kuala Lumpur )

    On | 0 Comment

    AL-QURAN dan hadis merakamkan kisah nyata mengenai fitnah dan angkara murka disebabkan wanita. Pelakunya ialah iblis berserta tentera yang menjalankan watak dan jiwa kotor untuk menjatuhkan manusia. Iblis selalu mengintip aurat dan keburukan sifat manusia. Iblis menanggalkan pakaian Nabi Adam dan isterinya, Siti Hawa di syurga. 

    Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya wanita itu menghadap ke muka (datang) dalam bentuk syaitan dan ke belakang (pergi) dalam bentuk syaitan.” (Hadis riwayat Muslim). Mujahid Rahimahullah berkata: “Ketika perempuan menghadap ke depan (datang), maka syaitan duduk di atas kepalanya lalu menghiasinya untuk orang yang melihat dan ketika perempuan itu menghadap ke belakang (pergi), syaitan duduk di belakangnya lalu ia memperindahnya untuk orang yang melihatnya. (Al-Qurtubi, al-Jami'li- Ahkamil Quran).

    Rasulullah juga memperingatkan dengan sabdanya bermaksud: “Sesungguhnya dunia manis lagi hijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu khalifah di bumi, lalu Allah mengawasi bagaimana kamu berbuat. Maka jaga dirimu mengenai dunia dan jaga dirimu mengenai wanita. Sesungguhnya bencana bani Israel ialah dalam hal wanita.” (Hadis riwayat Muslim, kitab Riqaq).
    Sabda Nabi dalam kitab Sahihain bermaksud: “Aku tidak meninggalkan fitnah bencana yang lebih berbahaya atas kaum lelaki (selain bahaya fitnah) daripada perempuan.” (Al-Fath, hadis riwayat Muslim). Sudah menjadi rahsia umum, ada projek dilancarkan pengurusannya menggunakan umpan wanita. Itu praktik iblis dan syaitan. Pada zaman Nabi dan sahabat pun tidak terlepas serta terjebak daripada projek syaitan melalui wanita untuk menjatuhkan maruah manusia.

    Hadis mengenai wanita kadangkala panjang kerana tidak lain wanita paling ramai jadi pengikut syaitan terkutuk. Sebab itu Nabi mengkhabarkan bahawa wanita paling ramai menghuni neraka kerana mengikuti iblis dan tenteranya. Tiada manusia mengikuti iblis melainkan ia sudah menguasai mereka. Iblis tidak akan menguasai mereka melainkan dengan banyaknya berlaku maksiat dan dosa. Sedangkan kekuasaan iblis dan tenteranya dengan cara menganggap indah dan bagus dosa dan maksiat yang dilakukan manusia.

    Al-Quran merakamkan contoh bencana dan fitnah melalui wanita. Firman Allah bermaksud: “Dan adalah di kota itu, sembilan lelaki yang membuat kerosakan di muka bumi dan mereka tidak berbuat kebaikan.” (Surah an-Naml, ayat 48). Dalam surah ini, Allah menceritakan kaum Nabi Salleh berusaha untuk membunuh unta baginda. Mereka membunuh unta itu disebabkan propaganda wanita yang bernama Mashro. Riwayat menyatakan wanita itu juga melemparkan panah dan melekat pada tulang kaki unta menyebabkan haiwan itu terbunuh. (Tafsir at-Tabari). Mashro ialah isteri pemimpin, sedangkan yang lain penyokong Mashro dan pemimpin kabilah Nabi Salleh. Jadi mereka ialah golongan elit yang terkenal. Terjadi fitnah wanita itu sebagai jalan masuk iblis kepada pembesar dan iblis bersama mereka untuk membunuh unta Nabi Salleh yang menjadi ayat (tanda) Allah.


    Allah juga memperingatkan kisah Nabi Yusuf dalam al-Quran dan kisah nabi lain mengenai fitnah wanita untuk dijadikan iktibar sepanjang zaman. Dengan aksi iblis jahat melalui wanita dan skandal seks sentiasa menjadi cerita besar dan penting menghiasi kecenderungan kehidupan umat manusia, apa lagi membabitkan pemimpin dan orang ternama sepanjang zaman. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kisah mereka itu (anbiya) ada pengajaran (iktibar) bagi orang yang mempunyai akal fikiran.” (Surah Yusuf, ayat 111).( sumber :
    Ibrahim Abdullah, Utusan Malaysia, 8 April 2011, Kuala Lumpur )

    On | 0 Comment

    Jauhi sifat mazmumah didik diri jadi Muslim bertakwa capai kejayaan dunia, akhirat. RASULULLAH SAW mengajar kita bahawa setiap amalan bergantung kepada niat. Jika niat buruk, maka buruk pula amalannya dan jika niat baik, baiklah amalannya. Walaupun niat buruk dan amalan nampak baik, hasilnya tetap tidak dipandang Allah. 

    Hati cerminan kepada segala perbuatan. Setiap kali bertindak, hati kita mencerminkan niat sebenar daripada perbuatan itu. Jadi, hati lebih menggambarkan perbuatan. Sedangkan amalan, lebih sulit untuk dinilai kualitinya. Justeru, Islam lebih condong menggarap hati daripada perbuatan. Kalau hati baik, maka perbuatannya pasti baik. Sebaliknya, meskipun perbuatan kelihatan baik, belum tentu hatinya baik.

    Seluruh amal ibadat yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita sebenarnya dimaksudkan untuk menggarap hati agar menjadi baik, contohnya puasa. Tujuan berpuasa ialah mendapatkan kemampuan mengendalikan diri atau disebut takwa dalam terminologi Islam. Takwa contoh kualiti hati. Orang bertakwa memiliki keteguhan hati untuk selalu berbuat baik dan menjauhi yang buruk. Orang bertakwa juga bersedekah ketika tiada mata melihat dan berbuat baik ketika semua orang menjadi jahat.


    Seluruh aktiviti ibadah kita bertujuan melembutkan hati yang akan menyelamatkan kita ketika hidup di akhirat nanti, sedangkan hati kasar dan keras tertutup terhadap sekitarnya seperti firman Allah dalam surah al-Isra, ayat 72 yang bermaksud: “Dan siapa di dunia ini buta hatinya, maka di akhirat nanti juga akan buta, dan lebih sesat lagi jalannya.” 
    Dalam Islam, ada beberapa tingkat kualiti hati yang buruk iaitu hati berpenyakit, keras, membatu, tertutup dan mati. Orang yang iri dan hasad dengki, benci, dendam, pembohong, kasar, pemarah dan sebagainya, dikatakan memiliki hati berpenyakit seperti disebutkan dalam surah al-Baqarah, ayat 10 yang bermaksud: “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.”

    Hati yang pada awalnya berpenyakit, jika tidak segera diubati akan mengeras. Mereka yang terbiasa melakukan kejahatan, hatinya tidak lagi peka terhadap keburukan perbuatan itu kerana sering diulang dan menjadi biasa. Mereka menganggap apa yang mereka kerjakan adalah benar malah normal seperti firman Allah dalam surah al-An’aam, ayat 43 yang bermaksud: “Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka sudah menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebaikan apa yang selalu mereka kerjakan.” Hati yang keras kalau tidak segera disedarkan akan meningkatkan keburukannya.


    Al-Quran menyebut sebagai hati yang membatu semakin mengeras daripada sebelumnya. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 74 yang bermaksud: “Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal antara batu itu sungguh ada yang mengalir sungai daripadanya dan antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah daripada apa yang kamu kerjakan.”


    Sesuatu yang sudah mengeras menjadi batu tentu sukar dilembutkan kerana sifat batu tidak akan lembut kecuali jika dihancurkan menjadi kecil tetapi bukan lembut. Begitulah juga hati, sukar melembutkan hati seperti tidak mungkin melembutkan batu menjadi kapas. Selepas itu, hati menjadi tertutup apabila tidak boleh lagi menerima getaran petunjuk. Allah mengatakan hal itu dalam firman-Nya dalam surah al-Muthaffifin, ayat 14 yang bermaksud: “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.”


    Akhirnya hati bagai dikunci mati iaitu tidak boleh langsung berfungsi. Hal ini diungkapkan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 6-7 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang kafir itu, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman. Allah sudah mengunci mati hati dan pendengaran mereka dan pembabitan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.”
    ( sumber : Nik Salida Nik Suhaila Nik Saleh, 07 April 2011, Utusan Malaysia, Kuala Lumpur )

    On | 0 Comment