ISLAM ADALAH PILIHAN CARA HIDUP


Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah bukanlah satu gelaran yang boleh disandang oleh sesiapa jua. Akan tetapi ia adalah gelaran yang disandang oleh orang yang memiliki manhaj, disiplin dan cara beragama yang menepati sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Kita tidak akan dapat melakukan semua ini melainkan dengan menguasai ilmu alat yang dapat menyampaikan kepada sunnah, iaitu ilmu hadis. Ilmu ini akan membimbing kita kepada mengetahui hadis yang sahih dan hasan, juga hadis lemah yang dapat digunakan dan yang tidak dapat digunakan.

Tentu saja semua ini memerlukan ketekunan, kesungguhan dan niat yang mulia. Inilah juga anugerah Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada sesiapa jua yang berusaha untuk memperbaiki agama dirinya, sebagaimana janji Allah:

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. [al-Ankabut 29:69]

Pengetahuan dalam ilmu hadis juga penting untuk kita menyemak sesuatu penulisan atau kuliah, sama ada hadis-hadis yang disampaikan itu memiliki asal usul atau tidak dan apa darjatnya. Ini kerana pada masa kini terdapat sebahagian penulis dan penceramah, sama ada dalam bidang agama atau motivasi yang:

  1. Menyampaikan hadis tanpa takhrijnya, iaitu tanpa disemak asal usul periwayatan hadis itu dan darjat kekuatannya.
  2. Tidak mengetahui takhrij yang sebenar tetapi berani berkata “Hadis ini sahih”.
  3. Apabila ditegur hadisnya dha’if, mereka berani membuat alasan “Tidak mengapa, ia memiliki beberapa jalan periwayatan yang menguatkannya ke taraf hasan” sedangkan mereka sendiri tidak pernah mengetahui jalan-jalan itu.
  4. Apabila ditanya sumber hadis, mereka berani memberi alasan “Tidak mengapa, para ulama’ membolehkan penyampaian hadis-hadis seperti ini untuk tujuan pengajaran, iktibar dan kesedaran” padahal mereka sendiri tidak mengetahui siapa dan apa perkataan sebenar para ulama’ itu.

Termasuk dalam golongan orang seumpama di atas ialah pengarang MSBSPR. Kebanyakan hadis-hadis yang dia kemukakan bagi membentuk hujah-hujah dasar telah disemak oleh pentahqiq – Abdullah al-Minsyawi – dan didapati dha’if. Ini menyalahi syarat penggunaan hadis dha’if yang dinyatakan oleh jumhurulama’. Ini kerana apabila jumhur ulama’ membolehkan penggunaan hadis dha’if, ia hanya untuk hadis-hadis dalam kategori menerangkan keutamaan amal, menganjur sesuatu yang baik dan mengancam sesuatu yang buruk. Hadis dha’if tidak boleh digunakan dalam kategori dasar-dasar agama, aqidah dan hukum-hakam.

Walaubagaimanapun terdapat segelintir hadis yang terlepas semakannya oleh pentahqiq. Dalam bab ini saya akan membuka untuk perbahasan dua dari hadis yang terlepas semakannya itu untuk kita ukur sejauh mana ilmu pengarang MSBSPR dalam bidang hadis dan apakah dia layak disandang gelaran al-Hafiz(seorang penghafal hadis) sebagaimana yang tertera di kulit depan buku MSBSPR.

Hadis Pertama:
MSBSPR 34:
HADITH KETUJUH.
Imam Ahmad dan Abu Daud meriwayatkan dari jalan periwayatan Abdul Rahman bin Abi Laila daripada Mu’az bin Jabal, katanya:

أُحِيْلَتْ الصَّلاَةُ ثَلاَثَةَ أَحْوَالٍ, فَذَكَرَ الْحَدِيْثَ وَفِيْهِ: وَكَانُوا يَأْتُونَ الصَّلاَةَ,

وَقَدْ سَبَقَهُمْ بِبَعْضِهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ,

فَكَانَ الرَّجُلُ يُشِيرُ إِلَى الرَّجُلِ إِنْ جَاءَ: كَمْ صَلَّى؟

فَيَقُولُ: وَاحِدَةً أَوِ اثْنَتَيْنِ فَيُصَلِّيْهَا ثُمَّ يَدْخُلُ مَعَ الْقَوْمِ فِي صَلاَتِهِمْ, فَجَاءَ مُعَاذٌ

فَقَالَ: لاَ أَجِدُهُ عَلَى حَالٍ أَبَدًا إِلاَّ كُنْتُ عَلَيْهَا ثُمَّ قَضَيْتُ مَا سَبَقَنِي,

فَجَاءَ وَقَدْ سَبَقَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِبَعْضِهَا, فَثَبتَ مَعَهُ,

فَلَمَّا قَضَى رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَتَهُ, قَامَ فَقَضَى,

فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّهُ قَدْ سَنَّ لَكُمْ مُعَاذٌ فَهَكَذَا فَاصْنَعُوا.

Maksudnya:
Dibahagikan sembahyang kepada tiga keadaan. Kemudian beliau pun menyebutkan lanjutan hadith terbabit. Antara kandungan yang terdapat dalam hadith itu ialah: “Para sahabat ada yang datang untuk bersolat, dan didapati Nabi s.a.w telah pun mendahului mereka pada sebahagian (rakaat) solat itu. Biasanya orang yang baru sampai akan bertanya secara berisyarat kepada seorang yang lain: Berapakah (rakaat) yang telah disembahyang oleh baginda? Lalu orang yang ditanya menjawab: Satu, atau dua. Kemudian orang yang baru datang itu pun mengerjakan solatnya (yakni secara bersendirian bilangan rakaat yang ia terluput bersama Nabi) kemudian dia menyertai orang ramai (yang berjamaah) dalam sembahyang mereka. Kemudian Mu’az datang (ketika Nabi s.a.w sedang mengimamkan sembahyang) lalu beliau berkata: Aku tidak kira dalam posisi apa pun baginda sedang sembahyang, melainkan aku menyertai posisi itu, kemudian aku qada’kan apa yang baginda telah mendahului aku. Lalu Mu’az datang (untuk sembahyang) sedangkan Nabi s.a.w telah pun mendahuluinya dengan sebahagian (rakaat) sembahyang itu. Lantas Mu’az tetap bersama Nabi (iaitu bersembahyang mengikut apa yang sedang dikerjakan oleh Nabi). Kemudian apabila Rasulullah s.a.w menyelesaikan sembahyangnya, Mu’az pun bangun lalu mengqada’ (yakni mencukupkan bilangan rakaat yang dia terluput daripada Nabi s.a.w). Setelah itu Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Mu’az telah mengadakan satu sunnah untuk kamu, maka begitulah hendaknya kamu lakukan”.

Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ahmad dari jalan periwayatan Ibn Abi Laila daripada Mu’az. [Notakaki no. 30: Sanad hadith ini sahih. Riwayat Ahmad (5/233, 236). Riwayat Abu Daud dalam kitab al-Salah (506, 507).]
Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dengan katanya:
Haddathana Waki’, Haddathana al-A’mash daripada ‘Amru bin Murrah daripada Abdul Rahman bin Abi Laila, katanya: Haddathana sahabat-sahabat Muhammad s.a.w. Kemudian disebutkan kandungan hadith itu. Hadith ini dipandang sahih oleh Ibn Hazm dan Ibn Daqiq al-‘Id. Ibn Abi Laila sempat sezaman dengan seratus dua puluh orang sahabat. Justeru, hadith ini adalah bersambung sanadnya lagi sahih.

Seterusnya pengarang MSBSPR 36 membawa lafaz yang diriwayatkan oleh al-Tabarani berkenaan kisah makmum masbuq di atas:
Al-Thabarani mengatakan:
Haddathana Abu Zar’ah al-Dimasyqi, Haddathana Yahya bin Saleh al-Wahhazi, Haddathana Fulaih bin Sulaiman daripada Zaid bin Abi Anisah daripada Amru bin Murrah al-Jamaliy daripada Abdul Rahman bin Abi Laila daripada Mu’az bin Jabal, katanya:…

Fokus kita ditujukan kepada akhir hadis di mana diriwayatkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallambersabda:
Mu’az telah mempelopori satu sunnah untuk kamu, maka ikutlah apa yang dilakukannya. Apabila salah seorang daripada kamu datang sedang dia ketinggalan sesuatu daripada sembahyang, maka hendaklah dia bersembahyang mengikut sembahyang imam, kemudian apabila imam selesai, maka qada’lah (yakni tunaikan) apa yang dia ketinggalan.

Hadis yang dikeluarkan oleh al-Thabarani ini kemudiannya diulas oleh pengarang MSBSPR 37:
Sanad hadith ini sahih. Hadith ini menunjukkan dalil harus mengadakan perkara baru dalam ibadat, sama ada ibadat solat atau lainnya jika ianya sejajar dengan dalil-dalil syarak.
Nabi s.a.w tidak mencela Mu’az, dan tidak berkata kepadanya: Kenapa kamu berbuat sesuatu dalam solat terlebih dahulu sebelum kamu bertanya kepadaku. Malah Nabi s.a.w memperakui apa yang dilakukan oleh Mu’az dan bersabda: “Mu’az telah mempelopori sunnah untuk kamu, maka perbuatlah sebagaimana yang dia buat”. Ini kerana apa yang dilakukan oleh Mu’az sejajar dengan kaedah berjamaah dan pengikutan makmum akan imamnya, di mana makmum tidak perlu menyelesaikan bilangan rakaat yang dia ketinggalan, melainkan setelah imam selesai menghabiskan sembahyangnya.

Marilah kita menilai satu persatu takhrij hadis yang dilakukan oleh pengarang MSBSPR. Bagi rujukan yang mudah, hadis-hadis di atas dikenali sebagai “Hadis tatacara makmum masbuq”.

Pertama:
Takhrij MSBSPR:
Imam Ahmad dan Abu Daud meriwayatkan dari jalan periwayatan Abdul Rahman bin Abi Laila daripada Mu’az bin Jabal, katanya:

Takhrij ini salah. Abu Daud mengeluarkan hadis terbabit melalui dua jalan:[1]

  1. Haddathana ‘Amr bin Marzuq, akhbarana Syu’bah, daripada ‘Amr bin Murrah katanya, aku mendengar Ibn Abi Laila berkata…
Seterusnya Syu’bah juga meriwayatkan daripada Ibn Abi Laila melalui dua jalan:
1-A:  Akhbarana Syu’bah, daripada ‘Amr bin Murrah katanya, aku mendengar Ibn Abi Laila berkata…
1-B: Akhbarana Syu’bah katanya, aku mendengar daripada Hushain, daripada Ibn Abi Laila katanya…
  1. Haddathana Ibn Mutsanna, haddathana Muhammad bin Ja’far, daripada Syu’bah, daripada ‘Amr bin Murrah katanya, aku mendengar Ibn Abi Laila katanya, haddathana sahabat-sahabat kami (iaitu para sahabat radhiallahu 'anhum) bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda…

Adapun hadis berkenaan sunnah Mu’az bin Jabal berkenaan tatacara makmum masbuq bersama lafaz “Sesungguhnya Mu’az telah mengadakan satu sunnah untuk kamu, maka begitulah hendaknya kamu lakukan”, maka ia dari jalan periwayatan nombor 1-B sebagaimana jelas Abu Daud:

قَالَ أَبُوا دَاوُدَ: ثُمَّ رَجَعْتُ إِلَى حَدِيثِ عَمْرِو بِنْ مَرْزُوقٍ، قَالَ: فَجَاءَ مُعَاذُ فأَشَارُوا إِلَيْهِ.

قَالَ شُعْبَةُ: وَهَذِهِ سَمِعْتُهَا مِنْ حُصَيْنٍ. قَالَ: فَقَالَ مُعَاذٌ: لاَ أَرَاهُ عَلَى حَالٍ إِلاَّ كُنْتُ عَلَيْهَا.

قَالَ: فَقَالَ: إِنَّ مُعَاذاً قَدْ سَنَّ لَكُمْ سُنَّةً كَذَلِكَ فَافْعَلُوا.

Berkata Abu Daud, kemudian aku kembali merujuk kepada hadis ‘Amr bin Marzuq, berkata (Ibn Abi Laila): “Maka datanglah Mu’az lalu mereka mengisyaratkan kepadanya (jumlah rakaat yang dia tertinggal).” Syu’bah berkata, ini aku mendengar daripada Hushain, dia (Ibn Abi Laila) berkata, maka Mu’az berkata: “Aku tidak melihatnya (solat jamaah) pada satu keadaan melainkan aku ikut berada dalam keadaan itu.” Dia (Mu’az) berkata, maka (Rasulullah) bersabda: “Sungguh, Mu’az telah mensunnahkan bagi kalian satu sunnah yang seperti itu, maka lakukanlah oleh kalian semua.”[2]

Sanad atau jalan periwayat 1-B adalah dha’if. Ini kerana Ibn Abi Laila atau nama penuhnya ‘Abd al-Rahman bin Abi Laila tidak bertemu atau mendengar daripada Mu’az bin Jabal. Perlu dibezakan bahawa ‘Abd al-Rahman bin Abi Laila pernah bertemu dan mendengar daripada sejumlah sahabat, namun Mu’az bin Jabal bukan di antaranya.
Perkara ini telah diperincikan oleh al-Baihaqi rahimahullah. Setelah mengemukakan hadis berkenaan makmum masbuq di atas lengkap dengan lafaz “Sesungguhnya Mu’az telah mengadakan satu sunnah untuk kamu, maka begitulah hendaknya kamu lakukan”, al-Baihaqi mengulas:
Dan diriwayatkan oleh Syu’bah daripada Amr bin Murrah daripada ‘Abd al-Rahman, haddathana para sahabat kami (mereka) berkata, seorang lelaki apabila datang……maka disebutkan makna (hadis) itu. Yang sedemikian adalah lebih kuat kerana ‘Abd al-Rahman bin Abi Laila tidak bertemu dengan Mu’az.[3]

Maksud al-Baihaqi, apabila hadis berkenaan tatacara makmum masbuq diriwayatkan oleh ‘Abd al-Rahman bin Abi Laila daripada para sahabat, maka ia memiliki darjat yang lebih kuat. Sebaliknya apabila ia diriwayatkan oleh ‘Abd al-Rahman bin Abi Laila daripada Mu’az bin Jabal, maka ia lemah kerana ‘Abd al-Rahman bin Abi Laila tidak bertemu dengan Mu’az bin Jabal.
Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah turut mengulas berkenaan hadis makmum masbuq bersama lafaz“Sesungguhnya Mu’az telah mengadakan satu sunnah untuk kamu, maka begitulah hendaknya kamu lakukan”:
‘Abd al-Rahman (ibn Abi Laila) tidak mendengar daripada Mu’az, akan tetapi diriwayatkan oleh Abu Daud dalam bentuk yang lain daripada ‘Abd al-Rahman bin Abi Laila katanya, haddathana sahabat-sahabat kami (iaitu para sahabat radhiallahu 'anhum) bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda…[4]

Walaubagaimanapun riwayat bentuk lain yang dikeluarkan oleh Abu Daud (jalan periwayatan nombor 2) tidak memiliki lafaz “Sesungguhnya Mu’az telah mengadakan satu sunnah untuk kamu, maka begitulah hendaknya kamu lakukan”.


Kedua:
Takhrij MSBSPR:
Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ahmad dari jalan periwayatan Ibn Abi Laila daripada Mu’az. [Notakaki no. 30: Sanad hadith ini sahih. Riwayat Ahmad (5/233, 236). Riwayat Abu Daud dalam kitab al-Salah (506, 507).]

Takhrij ini salah. Hadis ini dengan lafaz “Sesungguhnya Mu’az telah mengadakan satu sunnah untuk kamu, maka begitulah hendaknya kamu lakukan” dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, hadis no. 22124 (Musnad al-Anshar, Hadis Mu’az bin Jabal). Berkata Syu‘aib al-Arna’uth hafizahullah dan rakan-rakan ketika menyemak hadis ini:
Para perawinya dipercayai, merupakan para perawi dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) kecuali al-Mas‘udi – dia ialah ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd Allah bin ‘Utbah. Sesungguhnya (hadis-hadisnya) diriwayatkan oleh al-Bukhari sebagai penguat dan oleh para pemilik kitab Sunan. Namun (hafalannya) bercampur aduk sedangkan periwayatan Abi al-Nadhr – dan dia ialah Hasyim bin al-Qasim – dan Yazid bin Harun (daripada al-Mas‘udi) berlaku selepas dia mengalami (hafalan yang) bercampur aduk. Sementara Ibn Abi Laila, dia tidak mendengar daripada Mu’az, maka sanad ini terputus. Selain itu wujud juga perselisihan atas Ibn Abi Laila.[5]

Ringkasnya, terdapat dua kelemahan dalam sanad yang dikeluarkan oleh Ahmad:
  1. al-Mas‘udi: Beliau pada awalnya merupakan perawi yang dipercayai, namun kemudian mengalami masalah kekeliruan dan campur aduk di dalam hafalannya. Para perawi yang mengambil hadis ini daripada al-Mas‘udi, yakni Abu al-Nadhr dan Yazid bin Harun, mengambilnya setelah al-Mas‘udi mengalami masalah kekeliruan dan campur aduk di dalam hafalannya.
  2. Ibn Abi Laila: Beliau ialah ‘Abd al-Rahman bin Abi Laila. Beliau sempat berjumpa dan mendengar hadis daripada ramai sahabat kecuali Mu’az bin Jabal radhiallahu ‘anh.
Justeru disebabkan dua kelemahan ini, sanad hadis tatacara makmum masbuq adalah dha’if. Seandainya dikatakan “Hadis ini sahih” maka ia boleh diterima kerana hadis di atas memiliki banyak penguat daripada riwayat-riwayat yang lain.[6] Salah satu darinya ialah apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairahradhiallahu 'anh bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِذَا أُقِيمَتْ الصَّلاَةُ فَلاَ تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ وَأْتُوهَا تَمْشُونَ عَلَيْكُمْ السَّكِينَةُ

فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا.

Apabila solat (jamaah) sudah mula didirikan maka jangan mendatangi ia secara tergesa-gesa, sebaliknya datangilah ia secara berjalan agar kalian dalam keadaan tenang. Maka apa yang kalian temui maka solatlah (dengan mengikuti imam) dan apa yang kalian tertinggal maka sempurnakanlah (selepas imam selesai).[7]

Hanya, riwayat-riwayat penguat itu tidak mengandungi lafaz “Sesungguhnya Mu’az telah mengadakan satu sunnah untuk kamu, maka begitulah hendaknya kamu lakukan”. Namun apabila dikatakan “Sanad hadis ini sahih” maka ia merujuk kepada sanad yang dikeluarkan oleh Ahmad, di mana ia tidak sahih sebagaimana yang telah dijelaskan.


Ketiga:
Takhrij MSBSPR:
Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dengan katanya:
Haddathana Waki’, Haddathana al-A’mash daripada ‘Amru bin Murrah daripada Abdul Rahman bin Abi Laila, katanya:Haddathana sahabat-sahabat Muhammad s.a.w. Kemudian disebutkan kandungan hadith itu. Hadith ini dipandang sahih oleh Ibn Hazm dan Ibn Daqiq al-‘Id. Ibn Abi Laila sempat sezaman dengan seratus dua puluh orang sahabat. Justeru, hadith ini adalah bersambung sanadnya lagi sahih.

Takhrij ini dusta. Ia merupakan salinan ringkas dari apa yang dijelaskan olah Syam al-Haqrahimahullah ketika mensyarahkan hadis di atas berkenaan tatacara makmum masbuq. Sudah tentu lebih amanah, lebih ilmiah dan lebih indah jika pengarang MSBSPR menyatakan sumber rujukan yang disalinnya, daripada berpura-pura seolah-olah dia arif dalam bidang hadis.
Kesambungan sanad (musnad) dan kesahihan yang dimaksudkan oleh Syams al-Haq, Ibn Hazm dan Ibn Daqiq al-‘Id rahimahumullah merujuk kepada sanad periwayatan nombor 2, iaitu apabila ‘Abd al-Rahman Ibn Abi Laila berkata: “Haddathana sahabat-sahabat kami (iaitu para sahabat radhiallahu 'anhum)bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda…”. Ia tidak merujuk kepada sanad periwayatan nombor 1.
Adapun jalan periwayatan Ibn Abi Syaibah, ia memang sahih sebab ‘Abd al-Rahman Ibn Abi Laila menyebut Haddathana sahabat-sahabat Muhammad s.a.w.. Namun pengarang MSBSPR tidak pula mengemukakan hadis yang dimaksudkan sebagai: Kemudian disebutkan kandungan hadith itu. Berikut disalin hadisnya sebagaimana yang dikemukakan oleh Syams al-Haq dalam kitab yang sama, mukasurat yang sama:

حَدَّثَنَا أَصْحَاب مُحَمَّد صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ عَبْد اللَّه بْن زَيْد الأَنْصَارِيّ

جَاءَ إِلَى النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُول اللَّه رَأَيْت فِي الْمَنَام كَأَنَّ رَجُلاً قَامَ

وَعَلَيْهِ بُرْدَانِ أَخْضَرَانِ فَقَامَ عَلَى حَائِط فَأَذَّنَ مَثْنَى مَثْنَى وَأَقَامَ مَثْنَى مَثْنَى.

Para sahabat Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam menceritakan kepada kami bahawa ‘Abd Allah bin Zaid al-Anshari pernah datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Aku bermimpi seakan-akan seorang lelaki berdiri dan dia memakai dua helai selimut berwarna hijau. Dia berdiri di atas dinding mengumandangkan azan dua kali dua kali, lalu iqamat dua kali dua kali.[8]

Perhatikan bahawa hadis ini tiada kaitan dengan tatacara makmum masbuq.


Keempat:

Takhrij MSBSPR:

Al-Thabarani mengatakan: Haddathana Abu Zar’ah al-Dimasyqi, Haddathana Yahya bin Saleh al-Wahhazi,Haddathana Fulaih bin Sulaiman daripada Zaid bin Abi Anisah daripada Amru bin Murrah al-Jamaliy daripada Abdul Rahman bin Abi Laila daripada Mu’az bin Jabal, katanya:……Sanad hadith ini sahih.

Takhrij ini sia-sia kerana ia tetap berpangkal kepada ‘Abd al-Rahman bin Abi Laila daripada Mu’az bin Jabal. Telah diterangkan sebelum ini bahawa ‘Abd al-Rahman bin Abi Laila tidak mendengar daripada Mu’az bin Jabal. Justeru sanad ini terputus sehingga dengan itu ia tidak sahih.
Berdasarkan penilaian ke atas takhrij yang dilakukan oleh pengarang MSBSPR, dapat dirumuskan bahawa hadis berkenaan tatacara makmum masbuq yang diakhiri dengan lafaz “Sesungguhnya Mu’az telah mengadakan satu sunnah untuk kamu, maka begitulah hendaknya kamu lakukan” adalah tidak sahih sehingga ia tidak dapat dijadikan hujah bagi membentuk dasar agama.
Berdasarkan penilaian ini juga dapat dikenal pasti kelemahan-kelemahan pengarang MSBSPR dalam mentakhrij hadis.


  

Hadis Kedua:
MSBSPR 44:
Al-Tabarani meriwayatkan dalam kitab al-Awsat athar yang bersumberkan daripada Abu Umamah r.a, katanya:
Sesungguhnya Allah memfardhukan kepada kamu puasa Ramadan. Dia tidak memfardhukan kepada kamu beribadat di malam harinya (iaitu bertarawih secara berjamaah).
Beribadat di malam hari itu adalah perkara baru yang kamu ada-adakan. Oleh itu hendaklah kamu bertekun dan berterusan mengerjakannya. Ini kerana ada manusia dari kalangan Bani Israel yang telah mencipta satu bid’ah. Lantaran itu Allah mencela mereka apabila mereka meninggalkannya. Allah berfirman:

Maksudnya:
……dan (perbuatan mereka beribadat secara) “Rahbaniyyah” merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredhaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya……(al-Hadid : 27)

Dalam sanad athar ini terdapat Zakariya bin Abu Maryam. Ibn Hibban menyenaraikannya termasuk dalam perawi yang thiqah (dipercayai). Al-Nasa’ie mengatakan: Periwayatannya tidak kuat.

Al-Dar Qutni mengatakan:
Periwayatannya boleh diambil kira.

Demikian takhrij oleh pengarang MSBSPR. Sebelum kita menilai takhrij ini, dikemukakan teks arab sanad, matan dan komentar al-Thabarani rahimahullah terhadap hadis di atas. Hadis ini dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath, hadis no: 7450[9] sebagai berikut:

 حدثنا محمد بن أبان نا إسماعيل بن عمرو ثنا هشيم عن زكريا ابن أبي مريم

قال: سمعت أبا أمامة الباهلي يقول: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول:

إِنَّ الله فَرَضَ عَلَيْكُمْ صَوْمَ رَمَضَانَ وَلَمْ يَفْرِضْ عَلَيْكُمْ قِيَامَهُ

وَإِنَّمَا قِيَامَهُ شَيءٌ أَحْدَثْتُمُوهُ فَدُومُوا عَلَيْهِ

فَإِنَّ نَاسًا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ اِبْتَدَعُوا بِدْعَةً فَعَابَهُمُ الله بِتَرْكِهَا وَقَالَ:...إلى آخر الآية.

لا يروى هذا الحديث عن أبي أمامة إلا بهذا الإسناد, تفرد به إسماعيل بن عمرو.

Diceritakan kepada kami oleh Muhammad bin Aban (katanya), dikhabarkan kepada kami oleh Ismail bin ‘Amr (katanya), diceritakan kepada kami oleh Hasyim, daripada Zakariya bin Abi Maryam katanya, aku mendengar Abi Umamah al-Bahili dia berkata, aku mendengar Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam dia bersabda:
Sesungguhnya Allah memfardhukan ke atas kalian puasa Ramadhan namun Dia tidak memfardhukan ke atas kalian ibadat pada malam harinya. Sesungguhnya melakukan apa-apa ibadat pada malam harinya tidak lain adalah sesuatu yang kalian ada-adakan, maka berpegang teguhlah mengerjakannya. Ini kerana sesungguhnya ada sekumpulan manusia dari kalangan Bani Israil yang mencipta satu bid’ah lalu Allah mencela mereka kerana mereka meninggalkannya. Allah berfirman:
“Dan (perbuatan mereka beribadat secara) "Rahbaniyyah" - merekalah sahaja yang mengada-adakannya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredhaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya…” hingga akhir ayat.
(Berkata al-Thabarani): Tidak diriwayatkan hadis ini daripada Abi Umamah melainkan dengan sanad ini, berseorangan padanya Ismail bin ‘Amr.

Seterusnya marilah kita menilai takhrij pengarang MSBSPR ke atas hadis Abu Umamah radhiallahu 'anh di atas:

Pertama:
Takhrij MSBSPR:
Dalam sanad athar ini terdapat Zakariya bin Abu Maryam. Ibn Hibban menyenaraikannya termasuk dalam perawi yang thiqah (dipercayai). Al-Nasa’ie mengatakan: Periwayatannya tidak kuat. Al-Dar Qutni mengatakan: Periwayatannya boleh diambil kira.

Takhrij ini sia-sia kerana kecacatan sanad hadis Abu Umamah ini tidak terletak pada Zakariya bin Abi Maryam tetapi pada Ismail bin ‘Amr. Hal ini sedia diisyaratkan oleh al-Thabarani rahimahullah dengan katanya: “Tidak diriwayatkan hadis ini daripada Abi Umamah melainkan dengan sanad ini, berseorangan padanya Ismail bin ‘Amr.”
Adapun Ismail bin ‘Amr, maka beliau ialah Ismail bin ‘Amr bin Najih al-Bajali al-Kufi, kemudian al-Ashbahani yang meninggal dunia pada tahun 227H. Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah telah menghimpun status al-Jarh wa al-Ta’dilnya yang dapat diringkaskan sebagai berikut:[10]

  • Ibn Hibban telah menyebut Ismail dalam (kitab) al-Thiqat tetapi berkata: Dia banyak (meriwayatkan) hadis gharib (iaitu meriwayatkan hadis secara berseorangan. Hadis-hadis yang diriwayatkannya tidak diriwayatkan oleh perawi lain).
  • Ibrahim bin Uramah telah menyebut Ismail dengan puji-pujian yang baik ke atasnya akan tetapi berkata syaikh kami (iaitu Zain al-Din al-‘Iraqi, guru kepada Ibn Hajar al-‘Asqalani) yang demikiandha’if kerana di sisinya (Ismail bin ‘Amr terdapat pendapat yang mencacatkannya) daripada fulan dan fulan (tokoh-tokoh al-Jarh wa al-Ta’dil).
  • Berkata Ibn ‘Adi: Dia meriwayatkan hadis-hadis yang tidak dapat diikuti terhadapnya (tidak dapat dijadikan rujukan).
  • Berkata al-Khatib: Pemilik (hadis-hadis) gharib dan mungkar daripada al-Tsauri dan selainnya.
  • Berkata Ibn ‘Uqdat: Dha‘if, Zahib al-Hadits (hadis-hadisnya dijauhkan).
  • Berkata Abu al-Syaikh dalam (kitabnya) Thabaqat (al-Isbahaniyin): Hadisnya yang gharib berganda-ganda jumlahnya.
  • Berkata al-Azdi: Mungkar al-Hadits.
  • Berkata al-‘Uqaili: Mungkar al-Hadits. Dia mengambil (hadis) daripada orang yang tidak dapat diambil (hadis-hadisnya).
  • Berkata Abu Hatim: Dha’if.
  • Berkata al-Daraquthni: Dha‘if.

Kedua:
Hadis Abu Umamah di atas bukan sahaja cacat dari sudut sanad tetapi tertolak dari sudut matan. Ini kerana ia menyebut:
Sesungguhnya Allah memfardhukan ke atas kalian puasa Ramadhan namun Dia tidak memfardhukan ke atas kalian ibadat pada malam harinya. Sesungguhnya melakukan apa-apa ibadat pada malam harinya tidak lain adalah sesuatu yang kalian ada-adakan, maka berpegang teguhlah mengerjakannya.
Perhatikan lafaz Sesungguhnya melakukan apa-apa ibadat pada malam harinya tidak lain adalah sesuatu yang kalian ada-adakan…”. Ini adalah sesuatu yang aneh kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui lisan Rasul-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam telah memfardhukan – yakni mensyari’atkan[11] – untuk melakukan ibadat sunat pada malam hari Ramadhan. Dalilnya ialah hadis berikut:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُرَغِّبُ فِي قِيَامِ رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَأْمُرَهُمْ فِيهِ بِعَزِيمَةٍ.

فَيَقُولُ: مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menganjurkan pada malam Ramadhan dengan anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda: “Sesiapa yang beribadat pada malam Ramadhan kerana iman (yang teguh) dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.”[12] 

Antara ibadat yang dianjurkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, yang sudah diketahui oleh semua orang ialah Solat Tarawih. Ia boleh dilakukan berseorangan atau berjamaah, namun berjamaah adalah lebih utama. Dalilnya ialah hadis berikut:

صُمْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ

فَلَمْ يَقُمْ بِنَا حَتَّى بَقِيَ سَبْعٌ مِنْ الشَّهْرِ.

فَقَامَ بِنَا حَتَّى ذَهَبَ ثُلُثُ اللَّيْلِ. ثُمَّ لَمْ يَقُمْ بِنَا فِي السَّادِسَةِ.

فَقَامَ بِنَا فِي الْخَامِسَةِ حَتَّى ذَهَبَ شَطْرُ اللَّيْلِ.

فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوْ نَفَّلْتَنَا بَقِيَّةَ لَيْلَتِنَا هَذِهِ.

قَالَ: إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ.

Kami berpuasa bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam bulan Ramadhan. Baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga baki tujuh malam terakhir. Lalu (pada malam tersebut) baginda bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga sepertiga malam. Kemudian baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam keenam (sebelum akhir Ramadhan). Baginda bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam kelima (sebelum akhir Ramadhan) sehingga seperdua malam.
Maka saya (Abu Dzar) berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika kamu memberi keringanan kepada kami pada malam ini.” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”[13]

Oleh itu amatlah aneh apabila hadis Abu Umamah menyebut bahawa Allah Subhanahu wa Ta'alatidak mensyari’atkan apa-apa ibadat pada malam Ramadhan. Disebabkan keanehan ini, hadis Abu Umamah tersebut adalah tertolak.
Demikian dua hadis yang sempat disemak semula takhrij yang dilakukan oleh pengarang MSBSPR. Dua semakan ini, dicampur dengan semakan-semakan lain yang dilakukan oleh pentahqiq – Abdullah al-Minsyawi, menghasilkan rumusan bahawa:
  1. Pengarang MSBSPR tidak teliti dalam menyemak status al-Jarh wa al-Ta’dil perawi-perawi hadis.
  2. Pengarang MSBSPR tidak cekap dalam membezakan jalan-jalan periwayatan hadis.
  3. Pengarang MSBSPR tidak cermat dalam membandingkan matan hadis dengan nas-nas yang sahih lagi diakui umat Islam.
Semua ini menjauhkan keyakinan kita terhadap hadis-hadis yang dikemukakan oleh pengarang MSBSPR sebagai hujah, sama ada dalam bukunya MSBSPR mahupun dalam karya-karyanya yang lain.


 
 


[1] Hadis ini secara lengkap bersama jalan-jalan periwayatannya tidak terdapat di dalam kebanyakan edisi Sunan Abu Daud sekarang ini kerana ia adalah edisi yang telah diringkaskan oleh al-Munziri rahimahullah. Saya (Hafiz Firdaus) merujuk hadis ini dalam Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud oleh Syam al-Haq rahimahullah (tahqiq: Shiddiq Jamil al-‘Aththar; Dar al-Fikr, Beirut, 1995), jld. 2, ms. 141 dan seterusnya (Kitab al-Solat, Bab tatacara azan). Rujukan ini seterusnya diringkaskan sebagai ‘Aun al-Ma’bud sahaja.
[2] Tambahan dalam kurungan adalah berdasarkan syarahan Syams al-Haq dalam ‘Aum al-Ma’bud.
[3] al-Sunan al-Kubra (tahqiq: Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Atha’; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1999), hadis no: 3618 (Kitab al-Solat, Bab masbuq pada sebahagian solat…).
[4] al-Talkhish al-Habir fi Takhrij Ahadits al-Rafi’e al-Kabir (Muassasah Qurtubiyah, edisi cdrom Jami’ al-Fiqh al-Islami), jld. 2, ms. 84.
[5] al-Mausu‘ah al-Hadith: Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal (Muassasah al-Risalah, Beirut, 2001), jld. 36, ms. 439.
[6] Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan telah menerangkan penguat-penguat itu, lihat Musnad Ahmad yang mereka semak, jld. 36, ms. 439-443. Oleh kerana itu al-Albani rahimahullah turut mensahihkan hadis berkenaan makmum masbuq ini sebagaimana di dalam Shahih Sunan Abu Daud, no: 506-507. Lihat penjelasan beliau berkenaan hadis ini dalam Irwa’ al-Ghalil fi Takhrih Ahadith Manar al-Sabil (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1985), jld. 3, ms. 21.
[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 908 (Kitab al-Azan, Bab berjalan untuk menghadiri solat…).
[8] Aun al-Ma’bud, jld. 2, ms. 141. Hadis yang lengkap boleh dirujuk dalam al-Kitab al-Mushannaf fi al-Ahadits wa al-Atsar oleh Abu Bakar bin Abi Syaibah (tahqiq: Muhammad ‘Abd al-Salam Syaheen; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1995), hadis no: 2118 (Kitab al-Azan wa al-Iqamat, Bab berkenaan azan dan iqamat serta tatacaranya).
[9] Tahqiq: Muhammad Hasan Muhammad; Dar al-Fikr, Amman, 1999.
[10] Lisan al-Mizan (tahqiq: ‘Adl Ahmad ‘Abd al-Maujud & ‘Ali Muhammad Mu‘awwad; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), biografi no: 1338.
[11] Jika difahami “memfardhukan” sebagai “mewajibkan”, maka tidak ditemui apa-apa riwayat sahih yang menerangkan para sahabatradhiallahu 'anhum telah mengada-adakan ibadat pada malam Ramadhan dan mereka menghukumnya wajib.
[12]  Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya, hadis no: 759 (Kitab Solat, Bab anjuran beribadah pada malam Ramadhan…).
[13]  Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Nasa’e dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’e,hadis no: 1604 (Kitab Solat malam, Bab solat Malam pada bulan Ramadhan). 

On | 2 Comments